KOTA KINABALU: Perdana Menteri baharu boleh pertimbangkan untuk mewujudkan kabinet yang kecil, mahir dan bipartisan untuk membina kestabilan di negara ini, kata Pengerusi Backbencher GRS Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata realiti sebenar sekarang ialah tiada parti politik yang boleh membentuk kerajaan Persekutuan secara sendiri.
“Ada keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi. Tetapi fokus utama seharusnya kepada pemulihan.
“Parti politik perlu ingat perkara ini dan mempercayai Yang di-Pertuan Agong
untuk memilih Perdana Menteri yang akan memikul tanggungjawab ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Turut meletak jawatan adalah 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh itu menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menghadap Seri Paduka di Istana Negara.
Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, mengangkat sumpah Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Feb tahun sama.