Oleh NT
KOTA KINABALU: Bagai aur dengan tebing – begitulah keakraban ikatan politik antara Umno Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai pelbagai parti politik termasuk Bersatu.
Biarpun keadaan politik “bergolak” di peringkat Persekutuan, namun “janji manis” yang telah dilafazkan bersama sebelum pilihan raya umum negeri (PRN) yang lepas tidak sedikit pun dimungkiri atau tercalar setakat ini.
Rakyat Sabah adalah saksi sahih yang melihat sendiri pemimpin-pemimpin parti komponen GRS berjanji “sehati sejiwa” dalam arena politik, sekurang-kurangnya sama-sama mentadbir negeri ini untuk satu penggal atau lima tahun.
Mungkin masih ramai yang samar-samar mengenai rasional di sebalik penubuhan GRS.
GRS ialah sebuah gabungan parti politik yang diwujudkan di Sabah yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 September 2020 bagi menghadapi pilihan raya negeri pada tahun yang sama.
Komponen-Komponen utama dalam GRS ialah Parti STAR, SAPP, PBS, Bersatu-Sabah, dan BN-Sabah.
Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, GRS secara rasmi menandatangani “MoU” untuk meneruskan kerjasama, dan menolak campur tangan pihak luar pada 9 Januari 2021.
Ujian getir pertama yang terpaksa diharungi oleh kerajaan GRS ialah apabila Majlis Tertinggi Umno Pusat baru-baru ini memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Suhu politik Malaysia dilihat bertambah hangat selepas 15 anggota Parlimen termasuk dua bekas Menteri di bawah kerajaan PN dan dua anggota Parlimen dari Sabah, tidak lagi menyokong Muhyiddin.
Situasi ini meletakkan Umno Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam keadaan “tersepit” di tengah-tengah pergeseran politik peringkat pusat.
Namun, kata orang Sabah “janji tatap janji”, Umno Sabah pada minggu lepas memberi jaminan untuk terus teguh bersama Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Pendirian itu bukan sahaja disambut baik majoriti rakyat Sabah tetapi juga disokong oleh Pengerusi Backbencher GRS Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berpendapat bahawa adalah wajar untuk mempertahankan GRS dan mandat Rakyat.
ADUN Usukan itu juga pernah menyeru rakyat khususnya penyokong Umno supaya tidak ‘terikut-ikut dengan rentak’ pergolakan politik di Semenanjung, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini yang dahagakan pembangunan.
Beberapa pemerhati politik berpendapat desas-desus kononnya akan berlaku perubahan kerajaan Sabah sekiranya kerajaan PN di peringkat pusat jatuh adalah tidak benar dan hanya sekadar “cakap-cakap kosong” di kedai-kedai kupi.
Harus diingat Umno Sabah telah diberikan “autonomi” untuk menyusunatur hala tuju parti itu di peringkat negeri.
Antara keistimewaan diberikan kepada UMNO Sabah di bawah kuasa autonomi tersebut, termasuk kuasa memilih calon sendiri dalam pilihan raya, menentukan siapa ketua menteri dan wakil rakyat yang perlu diberi jawatan jika menang pilihan raya serta pelbagai isu berkaitan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Menurut mereka, selain komitmen yang diberikan oleh Umno untuk terus kekal dan menyokong GRS, kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri semakin disenangi rakyat Sabah.
Pemerhati politik berpendapat pembawaan atau perwatakan Ketua Menteri yang “humble” tetapi tegas dalam mempertahankan hak-hak rakyat Sabah khususnya isu yang berkaitan Covid-19 berjaya menambat hati rakyat.
Namun pemerhati politik turut mengapungkan ‘peringatan’ bahawa politik juga merupakan permainan kebarangkalian yang sukar diramal
terutama di Sabah — Sangat Menarik, Aramati !!