TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, meluangkan masa melawat mangsa bencana angin kencang di mana bumbung rumah mereka dipukul ribut, di Kampung Tambalugu, di sini, hari ini.
Mangsa, William Nonon @ Riboyon, 66 tahun, menghadapi detik cemas tersebut setelah atap kediamannya ditiup angin kencang berikutan kejadian angin kencang pada pagi Khamis, sehingga rosak teruk.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Tinjauan dibuat oleh Jahid hari ini, mendapati bumbung rumah mangsa dan bahagian atas rumah turut mengalami kerosakan.
Justeru, Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berharap mangsa bersabar dengan kejadian yang menimpa beliau.
Bagi meringankan beban mangsa, Jahid turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau berbentuk wang tunai kepada mangsa.
“Mudah-mudahan urusan selanjutnya dipermudahkan Tuhan,” kata Jahid.
Hadir sama Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan kepimpinan Kampung Tambalugu.