Aidiladha: Ambil iktibar pengorbanan Nabi Hadapi Cabaran Hidup – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta umat Islam di negeri ini agar menghayati dan mengambil iktibar sejarah serta kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan puteranya baginda Ismail AS, dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Advertisements

Katanya, Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang juga disambut di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian besar.
“Ini adalah tahun kedua umat Islam menyambut Aidiladha ketika penularan pandemik COVID-19. Bagi kita umat Islam di Sabah, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
“Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita erti kesabaran. Dalam keadaan dan cabaran yang sedang kita hadapi ketika ini, situasi sebegini sebenarnya menuntut kita agar sentiasa bersabar, bersyukur, bermuhasabah diri, berlapang dada dan menempuh cabaran ini secara bersama.
“Ia juga adalah satu pengorbanan besar setiap individu, selaras dengan tuntutan dan ajaran Islam. Raikanlah Aidiladha ini bersama keluarga di rumah masing- masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 1442/2021, di sini pada Ahad.
Hajiji juga meminta umat Islam yang membuat ibadah korban sempena Aidiladha ini agar melaksanakannya dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Beliau bersama keluarganya turut merakamkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di negeri ini.
Sementara itu, pada majlis penyerahan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di perkarangan Masjid Haji Noor di Kampung Serusup itu,hajiji turut menyampaikan 108 ekor lembu korban sempena Aidiladha yang akan disambut Selasa ini kepada 50 wakil masjid dan surau di sekitar Tuaran.
Selain itu, sumbangan lembu korban turut disampaikan oleh Ketua Menteri kepada pasukan keselamatan di negeri ini iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Aras 31, Blok A, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Jalan UMS, Teluk Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah.
Pada majlis itu, TDM diwakil Panglima 5 Divisyen, Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi, Mejar Jeneral Dato Hj Mohd Halim Khalid; manakala PDRM oleh Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kontinjen Sabah, Pembantu Komisioner Kanan Zabidi Mohd Zain dan Timbalan Panglima Armada Timur, Markas Pemerintah Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Shazalie Shuib, mewakili TLDM.
Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasni Daya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles