Kenyataan Media Ahli-Ahli Parlimen Parti Warisan Mengenai Isu Covid-19

1. Semalam Parti Warisan telah mengadakan pertemuan secara maya bersama Yang Berhormat Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul, bagi membincangkan intipati-intipati penting untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan.

Advertisements

2. YB Datuk Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang), YB Datuk Rozman Isli (Ahli Parlimen Labuan) dan YB Ma’mun Sulaiman (Ahli Parlimen Kalabakan) telah mewakili Warisan dalam pertemuan maya tersebut.

3. Dalam perbincangan tersebut, kami menekankan beberapa kewajaran bagi Pelan Pemulihan Negara 2021 agar:

Pertama, mewujudkan koordinasi, pengendalian dan pengurusan yang tersusun dan cekap bagi melancarkan urusan-urusan:

– Pelaksanaan vaksinasi yang lebih cekap dengan proses pendaftaran dilakukan setelah selesai vaksinasi lengkap dua dos tanpa perlu bergantung sepenuhnya dengan sistem MySejahtera. Hal ini penting bagi mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi semua segmen rakyat di negeri Sabah;

– Mempercepatkan program vaksinasi buat golongan pendidik dan pelajar di seluruh sekolah di Sabah yang tertumpu kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman;

– Pergerakan rentas daerah dan negeri bagi mereka yang sudah melengkapi vaksinasi dua dos lengkap dengan sijil vaksinasi berdigital dijadikan sebagai piawaian pergerakan; dan

– Penetapan SOP yang bersifat praktikal melalui pemantaun daripada pihak Jabatan Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah dan daerah-daerah dengan mengambil kira penilaian-penilaian risiko tertentu.

Kedua, mempertimbangkan secara terperinci dengan beberapa pendekatan yang bersandarkan realiti dan sains berkenaan dengan pembukaan sektor perniagaan kecil seperti kedai runcit.

Kami juga menyampaikan rasa prihatin kami terhadap aspek pemudahcara bagi sistem bantuan tunai mahupun kredit bagi golongan-golongan yang terkesan dari aspek kelangsungan kewangan seperti:

– Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di daerah-daerah berisiko tinggi di negeri Sabah khususnya;

– Petani, nelayan dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktiviti pertanian dan perikanan sebagai sumber utama mata pencarian; dan

– Pengusaha yang terlibat dalam rantaian pembekalan (supply chain) bagi sektor pelancongan dan hospitaliti, khususnya di kawasan-kawasan pulau dan tempat tumpuan pelancong di negeri Sabah.

Ketiga, kami juga mengingatkan Yang Berhormat Menteri agar menyegerakan pelan lengkap bagi melancarkan segala bentuk pembangunan di negeri Sabah yang terencat disebabkan kecelaruan dan kekeliruan SOP yang dikuatkuasakan.

Agihan peruntukan yang sewajarnya perlu diperkemaskan agar setiap proses kearah mewujudkan pembangunan fizikal yang meranqkumi capaian internet dapat diurustadbir dengan baik bagi mempercepatkan proses peralihan ke fasa-fasa pemulihan yang seterusnya.

Perihal capaian internet di kawasan luar bandar yang masih rendah wajar diberi tumpuan serius kerana ia melibatkan pembangunan pendidikan anak-anak yang banyak dilaksanakan secara pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

4. Tidak ketinggalan, kami juga mencadangkan agar Kerajaan dapat mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menggunapakai kaedah ‘carbon sequestration’ (penyerapan Karbon) khususnya di Sabah yang merupakan pengelur utama minyak kelapa sawit dan koko di Malaysia.

5. Kami berpandangan bahawa perbincangan tersebut merupakan suatu usaha bipartisan yang sewajarnya diberi penelitian dan pertimbangan agar tidak ada satu segmen pun tercicir dalam fokus kita untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini.

6. Ahli-Ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara Parti Warisan juga akan membawa suara-suara rakyat di peringkat nasional dalam setiap sesi pembentangan di Parlimen yang akan bermula pada 26 Julai ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles