TAWAU: Lonjakan kes baharu Covid-19 di negara jiran (Indonesia) kelmarin yang mencatatkan 56,000 kes perlu dipandang serius agar kesannya tidak menular dan tidak memburukkan lagi situasi semasa di Sabah khasnya di daerah yang mempunyai sempadan darat serta laut dengan negara republik tersebut.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto dalam satu kenyataannya hari ini berkata, situasi terkini di negara jiran tersebut adalah satu amaran bahawa Varian Delta lebih mudah merebak malah hanya memerlukan masa yang amat singkat untuk menjangkiti mana-mana individu yang terdedah.
“Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk jika pihak berkuasa khasnya ESSCOM tidak memperketatkan kawalan sempadan apatahlagi di ambang sambutan Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi.”
“Apa yang kita khuatiri, pergerakan keluar-masuk yang tidak terkawal khususnya di laluan-laluan tikus akan menjadi penyebab utama kepada lonjakan kes Covid-19 di negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zaki menyeru agar ESSCOM melipatgandakan ‘omni-presence’ dan memfokuskan kawalan bukan hanya di pintu masuk ‘halal’ malah memperketatkan kawalan di lokasi jalan masuk ‘haram’ supaya pencegahan boleh dibuat.