Oleh Yang Di-Pertua Dewan Negara dan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat
Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menjunjung kasih Baginda Tuanku atas keprihatinan Baginda Tuanku untuk menzahirkan titah pandangan Baginda pada 16hb Jun 2021, Parlimen Malaysia ingin memaklumkan kesediaannya untuk bersidang pada bila-bila masa mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis serta semua undang-undang negara yang terpakai pada masa ini.
2. Mengambil kira keadaan semasa di mana penyebaran wabak Covid-19 masih di dalam peringkat pembendungan dan juga perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa masa kini, Parlimen Malaysia berpendapat bahawa langkah spesifik perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 secara meluas akibat daripada persidangan Parlimen.
3. Menyedari hakikat ini, Parlimen Malaysia berhasrat untuk menyediakan kemudahan persidangan alternatif yang diharapkan dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 ketika persidangan Parlimen diadakan kelak untuk pertimbangan kedua-dua Dewan.
4. Dengan tujuan ini, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Puan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia telah ditubuhkan.
5. Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi penjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid. Secara umumnya, persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal [tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa persidangan] ataupun maya.
6. Menjunjung titah KDYMM YDPA untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas tersebut memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid ini dapat disediakan seberapa segera yang mungkin.
7. Namun, sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan Parlimen secara hibrid ini dijayakan kerana beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar. Hal-hal persiapan ini telah dimaklumkan kepada YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis semalam dan telah mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik.
8. Jawatankuasa Khas tersebut menjangka bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat. Dengan andaian itu, adalah dicadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan MKN dan KKM.
9. Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.
10. Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia-ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen.
11. Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka
persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun
selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
12. Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan.
SENATOR TAN SRI DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM Yang di-Pertua Dewan Negara
DATUK AZHAR AZIZAN HARUN Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia KUALA LUMPUR