KOTA KINABALU: Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan agar tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini tidak disambung dan meminta supaya Parlimen dibuka segera bagi membolehkan sistem demokrasi negara dipertahankan.
Cadangan itu disuarakan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah secara atas talian hari ini.
“Proklamasi Darurat tidak memberikan nilai tambah kepada usaha membendung pandemik Covid-19, malah terbukti gagal sepenuhnya apabila kes melonjak naik sehingga 9,020 berbanding 2,232 kes pada 12 Januari, tarikh bermulanya Darurat,” katanya pada sidang media secara atas talian selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Menggulas lanjut, beliau berkata Upko turut memaklumkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang mencukupi.
Ini memastikan kesemua Ahli Parlimen daripada Penyokong Kerajaan serta Pembangkang, diberikan tanggungjawab dalam pembuatan keputusan agar politik negara menjadi profesional dan stabil, katanya.
Madius berkata kerajaan seharusnya memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan dengan parti-parti Pembangkang dan memberi jaminan bahawa pembuatan dasar secara menyeluruh akan dilaksanakan menerusi Parlimen.
Beliau berkata Upko juga menolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Madius berkata parti itu turut menyarankan agar inisiatif vaksinasi disegerakan dan dilakukan secara inklusif.
“Kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan. Moratorium pinjaman kepada yang golongan yang memerlukan perlu disegerakan dan diperkemas.
“Moratorium seharusnya dilaksana secara menyeluruh dan bukannya secara bersasar atau bersyarat bagi pinjaman bank untuk syarikat dan individu perlu dilaksanakan semula,” katanya.
Madius berkata pemberian peranti komputer riba perlu dipercepatkan dan capaian jalur lebar diperluaskan terutama di kawasan pedalaman.
Katanya kesemua cadangan itu diusulkan demi kepentingan rakyat jelata, berpandukan kepada prinsip-prinisp Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.