Kepesatan Pembangunan Sungai Tercemar Antara Punca Bekalan Air Tidak Mampu Menampung Keperluan Pengguna – Bung

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU : Masalah gangguan bekalan air bukan isu baharu yang berlaku di Kota Kinabalu khususnya di Sepanggar, sebaliknya ia berlaku sejak tahun 2013 lagi dan keadaan bertambah buruk pada tahun 2018 apabila kepesatan pembangunan termasuk wujudnya kawasan perumahan baharu terutama di kawasan tersebut .

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berikutan kepesatan pembangunan yang berlaku, bekalan air terawat tidak dapat menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.

“Beberapa faktor lain turut menjejaskan bekalan air bersih antaranya sungai (air mentah) yang tercemar dan menyebabkan air berkenaan tidak dapat diproses menyebabkan loji air terpaksa ditutup.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah atau masalah teknikal lain turut menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan dengan baik,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman kononnya kerajaan khususnya Jabatan Air Sabah tidak membantu dalam menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan Sabah tidak pernah mengabaikan isu yang membabitkan keperluan rakyat khususnya bekalan air bersih namun telah mengambil tindakan proaktif bagi menanganinya.

Katanya, kerajaan telah mengambil keputusan bagi melaksanakan rancangan pemulihan secara berperingkat dalam tempoh satu hingga lima tahun dan rancangan ini akan mengambil masa.

“Ini adalah antara tindakan proaktif kita dalam menangani isu gangguan bekalan air bersih khususnya di Sepanggar dan pada peringkat pertama, pelaksanaannya akan dilaksanakan serta merta dalam masa setahun ini.

“Ia termasuklah menghantar bantuan air kepada mereka yang terjejas teruk sementara menunggu projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua siap sepenuhnya,”katanya.

Sementara itu, Bung meminta agar pihak terbabit tidak mengambil ‘Political Mileage’ berhubung isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Sepanggar dan sekitarnya selain mendakwa kerajaan mengabaikan keperluan rakyat.

Katanya, Jabatan Air Sabah telah menghantar bekalan air bersih melalui lori tangki setiap hari dikawasan yang terlibat berjumlah 2,200,000 liter air sementara JETAMA turut membantu 1,365,000 liter air menjadikan jumlah keseluruhan 3,585,000 liter air sejak Januari lalu.

“Penghantaran bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas selain catuan dibuat Jabatan Air secara bergilir-gilir di kawasan yang terlibat.

“Dakwaan kononnya Jabatan Air tidak membantu merupakan satu pembohongan malah saya sendiri turun padang melihat kawasan yang terjejas dan turut meminta kepada pihak pemaju di kawasan perumahan terlibat untuk menambah bilangan tangki air sebagai tempat stok penyimpanan namun tidak dilaksanakan pemaju terlibat, “Katanya

Mengenai dakwaan Aziz yang beliau membantu menyewa lori dan menghantar air kepada penduduk yang terjejas di kawasan tersebut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata sebagai Ahli Parlimen di kawasan tersebut sudah menjadi tanggungjawab beliau menjaga kebajikan rakyat yang beliau wakili.

“Cabaran dalam menangani isu bekalan air bersih di negeri ini bukan hanya terletak di atas bahu Kementerian Kerja raya malah siapa sahaja kerajaan semasa perlu melihat isu ini sebagai keutamaan kerana air merupakan keperluan asas utama rakyat” tambah Bung.

Dalam perkembangan sama, Bung berkata, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan dan telah bersetuju atas cadangan yang dikemukakan termasuklah cadangan pembinaan kolam Takungan Air Mentah di setiap LRA di Sabah bagi menangani isu bekalan air.

“Bagi tindakan jangka panjang proses perolehan bagi empangan Papar juga akan dilaksanakan dimana kerja-kerja fizikalnya disiapkan dalam tempoh 5 tahun.

“Sekiranya perancangan tidak dilakukan secara teliti dalam menangani isu air di negeri ini, kesannya untuk jangka panjang akan lebih buruk dan pengguna (rakyat) akan berterusan menghadapi krisis bekalan air bersih,”katanya.

 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles