KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu ketika mengemukakan tuntutan daripada sebuah agensi kerajaan.
Menurut sumber, lelaki tersebut merupakan pengurus syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan Projek Community Drumming telah ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 11 pagi.
Lelaki tersebut dipercayai telah mengemukakan surat akuan dan pengesahan palsu yang dikemukakan bersama dalam tuntutan yang berjumlah kira-kira RM170,000 pada tahun 2018.
Tuntutan itu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat, Sabah untuk Projek Community Drumming dibawah Majlis Harga Barang Negara bagi kawasan Matunggong, Kudat, Sabah dan Sikuati, Kudat, Sabah bagi tahun 2018
Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan tersebut disiasat dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Mei 2021.