PAPAR: Pesta Kaamatan Daerah Papar yang diadakan 01 Mei depan dilaksana berasaskan konsep Kesyukuran Kaamatan 2021 kerana pandemik CODIV-19 kian membaik berbanding tahun lalu.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau Datuk Johnny Mositun berkata Kaamatan yang dianjurkan bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) ini turut melibatkan sembelihan seekor kerbau sebagai tanda kesyukuran.
“Program utama seperti Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan turut diadakan sebagai acara kemuncak,” katanya.
Mositun yang juga Pengerusi Pelaksana Kaamatan Daerah Papar 2021 berkata pesta diadakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa.
Menurut Mositun, Kaamatan 01 Mei (Sabtu) yang diadakan di Dewan Mositun Sungkadon Papar itu menempatkan program-program utama meraikan kesyukuran hasil tuaian (usaha) tahun ini.
Manakala sehari sebelumnya, iaitu pada 30 April, Mositun menyumbangkan seekor kerbau sembelihan untuk menandakan kesyukuran sempena Pesta Kaamatan Daerah Papar tahun ini.
Mositun menegaskan, kesyukuran diadakan kerana Kaamatan tidak dapat diadakan tahun lalu, manakala pada tahun ini pesta dapat diadakan berikutan keadaan terkawal kes COVID-19 di negara ini.
Mositun berharap, dengan korban sembelihan mengikut adat, penduduk negara ini beserta negara-negara lain terus dilindungi dari sebarang malapetaka.
Mositun berkata demikian ketika mempengerusikan jawatankuasa penganjur di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Papar.
Pesta Kaamatan Daerah Papar dijangka dirasmikan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Mohd Tamin Zainal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis.
Turut dijemput ADUN Kawang Datuk Ghulam Khan Haidar, Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatin dan tetamu kehormat Datuk Susan Wong.