TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melalui OP Cegah Pati (OCP) Daratan telah menahan 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, dekat sini, semalam.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, bertindak atas maklumat Contact of Interest (COI) yang dikesan oleh radar pasukan keselamatan, telah mengesan pergerakan sebuah bot dari arah perairan negara jiran menuju ke perairan kampung kurnia jaya dalam keadaan mencurigakan.
Sehubungan itu, katanya, Sepasukan 15 anggota pasukan keselamatan (BN 14 PGA & 6RRD ATM) yang diketuai oleh ESSCOM telah diatur gerak ke lokasi kejadian iaitu di sebuah rumah tidak bernombor yang terletak di jambatan 2, Kg. Kurnia Jaya untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan ke rumah tersebut telah menemui 8 lelaki dewasa dan seorang wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berada di ruang tamu rumah tersebut dipercayai baru tiba dan masuk secara haram daripada negara jiran”.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 8 orang daripada 10 suspek berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”, katanya.
Ahmad Fuad berkata turut ditahan 2 lelaki tempatan dipercayai sedang menunggu PATI tersebut untuk dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.
Beliau berkata Kesemua suspek yang terdiri daripada 9 lelaki dan seorang wanita dan berumur antara 10-70 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 14 PGA dan 6 RRD Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam operasi ini.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan lorong-lorong tikus iaitu laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini secara haram.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.