Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu pemain-pemain Sabah FC meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.
Katanya, kemenangan bergaya 4-0 ke atas pasukan UiTM FC semalam harus menjadi pembakar semangat kepada pasukan itu untuk meraih kemenangan dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.
“Kejayaan mengutip tiga mata penuh di Stadium Likas semalam membolehkan pemain-pemain lebih bersemangat mengharungi perlawanan berikutnya,” katanya di sini, hari ini.
Pertemuan dengan UiTM FC merupakan perlawanan kesembilan yang dilalui Sabah FC setakat ini.
Pemangku Presiden SAFA itu berharap kemenangan itu dapat menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Sabah FC untuk memburu kejayaan dalam perlawanan lain.
“Kita sudah mula merasakan momentum untuk mencapai kemenangan dan pasukan patut meneruskannya dengan penuh bersemangat,” katanya.
Tiga hari lepas, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri mengingatkan pemain-pemain Sabah FC supaya bangkit dan menunjukkan semangat berpasukan serta kesetiaan terhadap pasukan di samping mengetepikan elemen kepentingan peribadi.
Sungguhpun beliau tidak menyaksikan perlawanan di Stadium Likas semalam namun Pemangku Presiden SAFA itu menonton siaran secara langsung di kaca televisyen untuk berkongsi kegembiraan dengan pemain-pemain Sabah membelasah pasukan pelawat itu.
“Anggap kemenangan selesa ini sebagai pencetus semangat kepada pemain-pemain untuk terus mencipta kejayaan selepas ini,” katanya.
Hasil kemenangan itu, Sabah FC melonjak ke tangga kelapan takhta liga selepas mencatat dua kemenangan dan tiga kali seri.