Nabalu News Jalin Kerjasama Upsi Perkasa Bahasa Kadazandusun Secara Maya
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Portal Nabalu News menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memperkasakan Bahasa Kadazandusun melalui ruangan Belajar Bahasa Kadazandusun yang diwujudkan khas dalam portal itu.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nabalu News dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Bahasa Kadazandusun) UPSI dibuat secara sukarela berdasarkan semangat bersama ingin memelihara warisan bahasa ibunda Kadanzandusun di antara kedua-dua pihak.
Pengurus Besarnya Rowindy Lawrence berkata, dalam hal ini pihak UPSI menentukan dan membekalkan pengisian program “Kanou Minsingilo Boros Kadazandusun”, manakala Portal Nabalu News pula akan menyiarkan pengisian tersebut dalam portal termasuk laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram.
“Bagi sesetengah pihak, ini bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi sebagai anak bangsa yang sayang akan bahasa ibunda, kami bersetuju memainkan peranan bersama agar pembelajaran secara maya menerusi infografik ringkas dapat dikongsi dengan para pembaca kami sama ada mereka daripada masyarakat Kadazandusun atau pembaca daripada pelbagai suku kaum yang lain.
“Kami berpendapat usaha-usaha sebegini perlu dimulakan oleh masyarakat Kadazandusun itu sendiri walaupun kita tahu bahasa boleh dikembangkan dan digunakan oleh sesiapa sekalipun yang berminat untuk belajar mengenai bahasa ibunda tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Portal Nabalu News bagi menjayakan program khas Mari Belajar Bahasa Kadazandusun – Kanou Minsingilo Boros Kadazandusun melalui portal Nabalu News.
Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Bahasa Kadazandusun) UPSI diwakili oleh Pensyarah Kanannya Dr.Rosliah Kiting dan Nabalu News diwakili Ketua Editornya Marryan Razan dan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir Penasihat Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) Tan Sri Bernard Dompok dan Pengerusi KLF Datuk Philip Lasimbang.
Rowindy turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di bawah kepimpinan Tan Sri Bernard Dompok yang telah berusaha memastikan pembelajaran Bahasa Kadazandusun dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah, seterusnya di institut perguruan dan universiti seperti UPSI.
“Malah kami tumpang berbangga usaha ini terus diperkasakan oleh para pemimpin UPKO masa kini.
“MoU ini merupakan salah satu inisiatif yang boleh menjadi pelengkap atau penambah-nilaian inisiatif-inisiatif sedia ada dan sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun dan Majlis Guru-Guru Bahasa Kadazandusun,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kadamaian yang menyokong penuh program “Kanou Minsingilo Boros Kadazandusun” termasuk keperluan pada acara hari ini.
“Beliau juga sebenarnya mencetuskan idea kerjasama ini. Kami tahu beliau (Datuk Ewon) turut menyokong penuh penganjuran Karnival Bahasa Kadazandusun yang diadakan setiap tahun di Kota Belud selama ini dan kami di Portal Nabalu News ingin menawarkan perkhidmatan sebagai rakan strategik media sekiranya karnival tersebut atau program-program seumpamanya dianjurkan,” katanya.
Beliau turut, mengalu-alukan persatuan etnik dan budaya di Sabah yang ingin mengadakan kerjasama dengan Nabalu News bagi memperkasakan program bahasa ibunda.
Katanya, Nabalu News terbuka dan mengalu-alukan kerjasama seumpama itu supaya semua bahasa ibunda etnik di negeri ini dapat dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.