TUARAN: Hanya 17 peratus atau 14,652 daripada 84,400 penduduk Tuaran yang berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata jumlah itu masih jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah yang masih belum berdaftar iaitu lebih 80 peratus.
Jahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program promosi dan kesedaran imunisasi COVID-19 kebangsaan kalangan masyarakat peringkat daerah Tuaran di Hospital Daerah Tuaran pada Khamis.
Jahid merupakan antara orang kenamaan yang menerima suntikan vaksin dos pertama, hari ini.
Turut menerima suntikan vaksin dos pertama ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasnih Ladin.
Bagi memberi motivasi kepada penduduk Tuaran, Jahid berkata proses vaksinasi itu agak mudah dan penerima suntikan itu tidak merasa apa-apa sakit.
Sehubungan itu, beliau merayu penduduk Tuaran agar tampil ke hadapan untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin tersebut.
Ditanya mengenai pengalaman beliau ketika disuntik, katanya, beliau sendiri merasakan bahawa suntikan itu normal, tidak menyebabkan kesakitan atau rasa pening.
“Selepas melalui suntikan, kita juga telah disuruh berehat, dan rasanya tidak ada perkara yang menakutkan berlaku,” tambahnya.
“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua warga Tamparuli, Tuaran dan Sabah secara keseluruhannya untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi untuk kesejahteraan rakyat, marilah kita memberi sokongan dan sambutan sepenuhnya dalam proses suntikan ini.
“Insyallah keadaan semuanya terkawal dan baik untuk semua demi kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya,” ujar Jahid.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berharap agar rakyat sedar akan kepentingan vaksin dan meningkatkan pembacaan mengenainya.
Pada kesempatan itu, Jahid turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan petugas perubatan yang diketuai Pengarah Hospital Tuaran, Dr G.Mohan, atas khidmat yang diberikan sepanjang proses vaksinasi berlangsung.
1 – DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT …. Jahid ketika menerima suntikan Vaksin Covid-19 di Hospital Tuaran, hari ini.