KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Negeri Sabah yang bernilai RM 8.9 juta.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan kementerian berkenaan, Depoh itu siap dibina pada 10 Disember 2020 dan merupakan depoh yang pertama di Sabah.
Ianya akan berfungsi sebagai tempat penyimpanan, persediaan dan pengagihan bekalan barangan dan keperluan mangsa bencana.
Apabila beroperasi sepenuhnya, depoh tersebut boleh menampung bekalan keperluan asas selama dua minggu kepada 100 ribu mangsa bencana pada satu-satu masa.
Selaras dengan Perkara 18, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 (Semakan Semula) : Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan salah satu agensi utama Kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan penyaluran bekalan makanan dan keperluan asas kepada mangsa bencana di semua pusat pemindahan yang dibuka.
Sehingga kini, JKM telah mempunyai lapan buah depoh iaitu di Negeri Kedah, Johor, Selangor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak dan yang terbaru di Sabah.
Semoga dengan kewujudan DSKB di Negeri Sabah akan memperkemas dan melancarkan lagi proses pengurusan bantuan kepada mangsa.
KPWKM juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik terutama kepada mangsa bencana, kata kenyataan itu.