KENINGAU: Anggota Dewan Undangan Negeri Sook Datuk Ellron Angin sedia bertanding di kerusi Parlimen Pensiangan sekiranya dicalonkan oleh pimpinan parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah menyatakan kesediaan itu ketika berucap pada majlis perasmian ‘Program Gotong Royong Perdana’ di Kampung Terlobou Baru, Sook hari ini.
“Saya tidak nafikan bahawa saya berminat untuk bertanding sebagai calon di P.182 Pensiangan, sekiranya dicalonkan…saya sudah bersedia,” Katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politiknya Tuan Jre Jreneus Pagut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Tony Talasoi, Naib Wiramuda Star Sabah Jordan Jude, wiramuda Star Sabah Dun Sook dan kakitangan UPPM Sook.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
Terlobou Baru En. Lodius Singah berkata
penyokong dan akar umbi Star di DUN Sook menyokong penuh sekiranya Adun Sook Ellron bertanding Parlimen Pensiangan pada PRU15.
“Kami sangat bersetuju jika Datuk Ellron bertanding di P.182 Pensiangan dan kami akan memberi sokongan 100% terhadap beliau nanti,” katanya.
Sempena lawatan itu, Ellron turut meninjau dan mendengar sendiri permasalahan penduduk di beberapa kampung seperti jalan raya dan perparitan.