TAMPARULI: Rakyat diseru agar menerima suntikan vaksin Covid-19 secara terbuka dan bersedia untuk divaksinasikan tanpa perlu ragu-ragu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, rakyat tidak perlu takut tetapi perlu bersedia dengan situasi tersebut untuk kebaikan bersama.
“Kerajaan kita telah melakukan penelitian yang rapi terlebih dahulu sebelum memilih jenis vaksin yang sesuai untuk kegunaan rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan bakul makanan kepada golongan B40 dari lima buah kampung, di Mini Dewan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, dekat sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, ADO Tuaran, Awang Hj Yusuf, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, PPM Sulaman, Hj Murni Lamsari, Pegawai Kebajikan Tuaran, Jani Mamut, Pegawai Kebajikan Tamparuli, Siti Faizah Asli, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Ketua Balai Polis Tamparuli, Georgeting Alang.
Katanya, beliau percaya rakyat di Tamparuli juga tidak mudah dihasut dengan pihak yang cuba mengelak menerima vaksin tersebut tetapi menerimanya dengan hati terbuka.
“Sudah ramai pemimpin tertinggi termasuklah Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sendiri telah mengambil suntikan vaksin ini, termasuklah para petugas barisan hadapan kita, dan sehingga kini belum ada kesan-kesan negatif seperti yang digembar-gemburkan sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, jika diikut, pengambilan vaksin sebenarnya juga penting sebagai langkah jangka panjang bagi melindungi diri selain untuk kekuatan antibodi.
“Dulu kita kecil-kecil di sekolah pun kita ada terima vaksin, kesannya adalah selamat, jadi rakyat Sabah termasuk orang Tamparuli perlu menyokong usaha murbi kerajaan ini untuk kebaikan semua,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan sekiranya mendapat panggilan untuk divaksinasi, mereka tidak takut, sebaliknya hadir mengikut giliran yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun bantuan bakul makanan yang diberikan tidaklah seberapa, tetapi sekurang-kurangnya mampu untuk membantu meringankan beban rakyat.
Menurut Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, bantuan tersebut tidak mengenal warna kulit, pegangan politik, agama dan sebagainya, asalkan mereka layak di bawah kategori B40, akan mendapatnya.
“Sekiranya ada yang tercicir tolong maklumkan pihak urusetia kerana semua kita akan mendapat pembelaan,” tambahnya.
Seramai 85 penerima daripada golongan B40 mewakili lima buah kampung iaitu Kampung Bawang, Kampung Bantayan, Kampung Bontoi, Kampung Dopu dan beberapa penghuni kampus Sekolah Menengah Advent Sabah (SASS) Tamparuli menerima bantuan bakul makanan pada majlis tersebut.