KALABAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan 4 lelaki warga tempatan kerana disyaki menyeludup 20 bungkus air ketum dan 11 kilogram daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah van, di sini pada petang ahad.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kesemua suspek ditahan ketika melalui Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan ESSCOM di sini, kira-kira pada jam 3.30 petang kelmarin.
Beliau berkata ketika kejadian, sepasukan anggota PGA yang sedang melaksanakan tugas rondaan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) telah menahan dan memeriksa sebuah van berwarna putih yang melalui kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan berkenaan telah menemui dua buah kotak iaitu sebuah kotak berwarna coklat dan satu lagi kotak jenis polistrin berwarna putih yang disembunyikan di bahagian belakang Van berkenaan yang disyaki mengandungi bahan-bahan terlarang.”
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-kedua kotak berkenaan telah menemui 11 kg. daun ketum dan 20 bungkusan disyaki cecair air ketum yang disembunyikan di dalam kedua-dua kotak berkenaan”, katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Beliau berkata keempat-empat suspek termasuk pemandu van yang berumur 24-72 tahun telah ditahan untuk siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Turut dirampas sebuah van putih jenama Foton model view C2 High roof 2.8L Diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM 121,310.00.
Kesemua suspek telah dibawa ke balai polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan pusat pemeriksaan daratan (RCP) ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 14 PGA Tawau yang terlibat dalam pertugasan ini.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik penyeludup dadah di daerah ini.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.u