BERSATU SAMBUT BAIK PENDIRIAN UMNO SABAH TERUSKAN KERJASAMA MENERUSI GABUNGAN RAKYAT SABAH (GRS)

KOTA KINABALU: Pendirian UMNO Sabah untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selari dengan perjuangan gabungan itu untuk membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik di Sabah.

Advertisements

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah lepas telah menunjukkan hasrat rakyat di Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat demi kestabilan politik.

“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.

“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata BERSATU mengalu-alukan pendirian UMNO Sabah untuk terus bekerjasama dengan BERSATU di peringkat negeri Sabah dibawah GRS.

Pada Jumaat lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dipetik laporan berita Astro Awani berkata UMNO Sabah ada autonomi dan akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU dan parti-parti lain menerusi GRS.

Semalam, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara BERSATU dengan UMNO Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.

Ronald berkata pendirian UMNO Sabah itu harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baru yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya,” tegasnya.

Beliau berkata perpaduan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles