Petunjuk PRU15 Makin Hampir – Menurut Penganalisa Politik

KOTA KINABALU: Selepas mesyuarat persediaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Rabu lepas,  PN meneruskan misinya untuk menubuhkan struktur jentera pilihan raya negeri, sekali gus menguatkan lagi petunjuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.

Advertisements

Pewujudan struktur pilihan raya negeri PN itu dilhat sebagai sebahagian daripada usaha parti itu untuk memantapkan jentera peringkat negeri bagi menghadapi saingan PRU15 yang cukup mencabar.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan parti-parti lain pula rata-rata menyuarakan harapan agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung berpendapat program vaksinasi Covid-19 yang sedang bermula berpotensi meneutralkan ancaman pandemik itu dalam beberapa bulan akan datang. 

“Terdapat juga tanda-tanda sidang Parlimen akan diadakan tidak lama lagi. Kita perlu jelas bahawa proklamasi darurat yang diumumkan adalah sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal sekiranya kes Covid19 berjaya dikawal,” katanya kepada Jesselton Times hari ini.

Lee berkata titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri juga memberi mesej yang jelas bahawa PRU15 boleh diadakan sebelum Darurat berakhir Ogos depan.

“Cerita politik di Malaysia ini tidak pernah reda, semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambilalih sebagai Perdana Menteri sahaja sudah beberapa kali cerita menguling kerajaan heboh. 

“Kerajaan PH tumbang sendiri disebabkan kegagalan menyelesaikan soal peralihan kuasa kepada Perdana Menteri yang baharu pada Februari 2020 iaitu hanya selepas 22 bulan memerintah. Hal demikian menjurus kepada kemunculan suatu bentuk kerjasama baharu yang dikenali Perikatan Nasional (PN) hasil persefahaman di antara ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak PH dan BN untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Sepanjang tempoh setahun ini menyaksikan pelbagai pancaroba politiknya dirumitkan lagi dengan pandemik Covid19. 

Mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Azmin Ali dan dihadiri parti-parti anggota PN yang terdiri daripada PAS, PPBM, STAR, SAPP dan GERAKAN merupakan indikator jelas PRU15 semakin jelas. 

“Kita sedia maklum ramai yang mempertikaikan keabsahan kerajaan PN sekarang meskipun tumbangnya kerajaan PH adalah disebabkan masalah dalaman diri mereka sendiri dan pada ketika itu negara yang tiada kerajaan perlukan muafakat daripada ahli-ahli parlimen untuk mencari suatu penyelesaian yang konklusif.

“Dua perkara menarik daripada pertemuan di Putrajaya tersebut ialah mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Azmin Ali dan keduanya, PAS sebagai salah sebuah parti anggota PN. 

“Apakah itu bermaksud Azmin Ali mempunyai peranan yang penting pada dan selepas PRU15 apatah lagi beliau merupakan aktor penting dalam Langkah Sheraton,” kata Lee.

Beliau berkata PAS mempunyai persefahaman dengan UMNO sebelum ini menerusi Muafakat Nasional tetapi kini berada di dalam PN. 

“Dengan perang dinging di antara pemimpin-pemimpin PPBM dengan UMNO yang hangat, barangkali kedua-dua belah pihak sama ada BN mahupun PAS perlu mengkaji balik kedudukan masing-masing sama ada meneruskan kerjasama menghadapi PRU15 atau call it off (menghentikannya). 

“UMNO perlu membuat pelan kontigensi menghadapi PRU15 tanpa PAS di sisi mereka,” katanya.

Beliau berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan bakal menjadi medan percaturan politik yang akan menentukan hala tuju UMNO, termasuk pendirian parti itu berhubung kedudukannya dalam kerajaan sekarang.

Lee berkata sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan parti itu tidak akan mengadakan rundingan pengagihan kerusi PRU15 dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi ia perlu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO untuk keputusan muktamad.

“Saya melihat apa juga keputusan yang diambil oleh UMNO boleh “trigger” pilihan raya mengejut. Namun masih terlalu awal buat andaian, kerana politik adalah sesuatu yang dinamik,” katanya.

PRU14 diadakan pada bulan Mei 2018 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang sebelum kerajaan PH itu tumbang pada awal tahun lepas.

Selalunya menjelang pilihan raya ini akan menyaksikan penghijrahan penyokong mahupun pemimpin parti politik ke sebelah lawan mereka. 

Jadi Langkah ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir semalam boleh dilihat sebagai salah satu indikator PRU15 semakin menghampiri. 

Kita telah menyaksikan Singapura dan Korea Selatan telah berjaya mengadakan pilihan raya mereka dengan baiknya. Begitupun, PRN16 Sabah pada September 2020 telah dilihat sebagai punca gelombang kedua penularan kes Covid-19 di Malaysia. 

Jadi bahaya ancaman pandemik Covid-19 ini perlu dijadikan sebagai prioriti perkiraan mengadakan PRU15.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles