LPPB perkenalkan konsep baharu untuk golongan B40

717
Masiung Banah
Masiung Banah

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang menimbang cadangan membina rumah mampu milik berkonsepkan “sewa beli” bagi membolehkan warga Sabah golongan B40 dapat memiliki rumah sendiri.

Advertisements

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, satu garis panduan sedang dirangka untuk tempoh empat tahun akan datang bermula awal tahun ini berhubung cadangan baharu itu.

“Cadangan itu turut mensasarkan pasangan muda yang tinggal di sekitar bandar dan pekan di seluruh negeri dapat memiliki kediaman sendiri seawal usia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kajian menunjukkan sebahagian besar rakyat negeri ini belum mampu memiliki rumah kerana terbatas dengan syarat kelayakan apabila membuat pinjaman bank.

Kerana itu katanya, LPPB menggariskan langkah jangka panjang untuk membina rumah secara sewa beli tanpa perlu syarat pinjaman daripada institusi kewangan.

“Pembeli hanya perlu menandatangani perjanjian sebelum menduduki rumah yang kemudiannya menjadi hak milik mereka selepas habis dibayar menerusi sewa bulanan, “tambah beliau.

Masiung berkata, walaupun sebelum ini LPPB dengan usahasama syarikat swasta membina rumah mampu milik berharga di bawah RM250 ribu namun masih ramai warga Sabah B40 gagal melepasi kelayakan pinjaman bank.

Beliau berharap dengan langkah terbaharu LPPB  membina rumah kos sederhana rendah berkonsepkan sewa beli itu, akan ramai rakyat negeri ini mengambil kesempatan khususnya pasangan muda untuk mencapai impian memiliki rumah sendiri.

“Kita kini sedang menyiapkan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berhubung cadangan itu, ” katanya.

“LPPB memiliki banyak tanah rizab yang perlu dibangunkan di seluruh negeri tetapi malangnya sebahagian besar kawasan itu telah dicerobohi penempatan setinggan dan kilang-kilang kecil,” tambahnya.

Menurut beliau, usaha terbaharu LPPB itu diharap dapat mengurangkan masalah kewujudan penempatan setinggan di negeri ini.

Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut berkata, melihat Sabah merupakan antara negeri yang mempunyi rumah setinggan tertinggi di negara ini, kerajaan perlu mendirikan lebih banyak rumah kos sederhana rendah memandangkan pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat.

Menurut Masiung, pertambahan bilangan rumah setinggan di negeri ini amat membimbangkan kerana ianya banyak menyumbang kepada masalah penyambungan elektrik dan air secara haram selain pelupusan sampah yang tidak teratur.

Kewujudan setinggan di sekitar bandar pula turut mencacatkan imej bandaraya di mata pelancong selain mengundang pelbagai masalah jenayah.

Menurut laporan Jawatankuasa Utama Negeri mengenai setinggan di Sabah pada Februari tahun lalu terdapat 227 penempatan setinggan dengan jumlah 157,188 orang terdapat di seluruh negeri.

Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi dengan 54 penempatan setinggan, yang dududuki seramai 34,173 orang, disusuli Sandakan 34 penempatan (29,192 orang), Tawau 28 (15,079 orang), Semporna 18 (31,292).

Lahad Datu mempunyi 14 penempatan setinggan (21,084 penduduk) manakala Beluran sebanyak 2,640 dan Putatan 10 penempatan 2,206 penduduk.