KOTA KINABALU: Penghantaran pertama vaksin COVID-19 dijangka tiba di Sabah pada 25 Februari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata Ketua Menteri Sabah dijangka akan menerima suntikan vaksin COVID- 19 selepas upacara Perasmian Vaksinasi COVID -19 Peringkat Negeri Sabah yang dirancang pada 4 Mac depan.
Setakat ini, katanya, 109 Pusat Pemberian Vaksin telah dikenalpasti dan akan terlibat dalam pemberian vaksin di seluruh negeri.Â
“Jumlah Pusat Pemberian Vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.
Ditanya sama ada pelajar yang akan masuk sekolah dan asrama perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengelakkan penularan berlaku di sekolah, Masidi berkata murid yang akan kembali bersekolah dan ke asrama pada 1 Mac 2021 ini tidak perlu lagi menjalani ujian swab memadai dengan menjalankan penilaian risiko sahaja sebelum memasuki kawasan sekolah.Â
Mengenai cadangan agar guru dan pelajar diberikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu, Masidi berkata dalam perancangan awal Fasa 1 Program Vaksin COVID-19, ia hanya merangkumi petugas-petugas kesihatan barisan hadapan dari sektor kerajaan dan swasta, dan juga petugas-petugas perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen.
“Namun begitu, Kerajaan Sabah akan membuat pertimbangan teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam Fasa 1 kepada guru-guru yang mempunyai komorbiditi kesihatan dan faktor-faktor risiko yang lain, selaras dengan pengumuman YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 21 Februari 2021,” katanya.