KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim menerima kunjungan hormat pertubuhan Mitatabang Komuniti di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), sini hari ini.
Pengasas Mitatabang Komuniti, Dr. Bonaventure Boniface, berkata, tujuan kunjungan adalah bagi memperkenalkan Projek Komuniti Pertanian Moden yang berpotensi dibangunkan sebagai projek luar bandar.
“Saya selaku pengasas Mitatabang Komuniti bersama dengan syarikat Jesselton Moments telah memberi taklimat terperinci mengenai satu projek dalam sektor perladangan kontrak untuk pasaran Rock Melon dan projek komuniti setempat (PKS) Tuaran.
Menurut Dr Bona, Projek Rock Melon menggunakan teknologi fertigasi seperti di Kuching, Sarawak yang mana telah membantu
ramai usahawan muda untuk menceburi bidang pertanian dan sekaligus membantu
meningkatkan pendapatan komuniti mereka.
“Projek ladang kontrak bersama dengan
Lotus Farm di Sarawak telah membuktikan kaedah penanaman fertigasi lebih terjamin
dan terkawal dari segi kualiti buah dan kuantiti pengeluaran.
“Sehubungan itu, hari ini, satu pembentangan kepada Menteri dan KPLBS untuk menerangkan lebih lanjut berkenaan projek ini yang mungkin berpotensi untuk dibangunkan di negeri Sabah khususnya di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Jahid memberitahu, beliau tertarik dengan hasil taklimat tersebut dan ingin mengetahui secara lebih lanjut mengenai program yang diperkenalkan.
“Kita telah minta mereka membuat satu perincian mengenai kekuatan program ini dari segi usaha untuk membasmi kemiskinan khususnya bagaimana kita mendapat hasilnya dalam tempoh yang singkat dengan pasaran-pasaran yang tersedia.
Menurutnya, dalam usaha kementerian membuat program-program pembasmian kemiskinan, keutamaan KPLBS adalah bagi mencari secara kreatif program yang boleh membantu rakyat yang tergolong sebagai miskin tegar agar terkeluar daripada kategori tersebut.
“Antaranya adalah mencari usaha-usaha di luar kotak, termasuklah program seumpama ini,” katanya.
“Apa pun, kita ingin memperkasakan anak-anak muda khususnya di luar bandar, kerana ini sedikit-sebanyak berkait rapat dengan teknologi dan sistem moden, justeru adalah lebih mudah jika golongan muda yang dilibatkan.
Tambahnya, selain menjadi pewaris program itu pada masa akan datang, adalah lebih mudah untuk generasi muda menguasai dari segi sistem, teknikal dan sebagainya.
“Jadi, biarlah kita beri peluang kepada anak-anak muda untuk mengubah kehidupan keluarga mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata, setelah melihat lebih lanjut nanti, program seperti itu juga boleh diutarakan kepada kabinet negeri agar mendapat sokongan dari segi peruntukan pada masa akan datang.
Turut hadir Setiausaha Tetap (SUT) KPLBS, Hj Faimin Kamin, dan Pengarah Urusan Jesselton Moments, Ben Goh.
CAPT:
JAHID (kanan) Menerima kertas kerja ‘Modern Community Farm’ dari Pengarah Urusan Jesselton Moments, Ben Goh (kiri).