KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ucapan takziah dengan pemergian mendiang Lans Koperal Bradford Bernard yang meninggal dunia akibat terlibat dengan insiden kemalangan jalan raya pada 12 Februari lalu di Kluang Johor.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata jenazah mendiang berjaya dibawa balik selepas diterbangkan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Isnin lalu.
Katanya jenazah itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 3.20 petang kelmarin dan turut disambut oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan.
Hadir sama di LTAKK ialah Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kontinjen Sabah Zabidi Md Zain, Pengerusi PERKEP Sabah Datin Fadziah Abdul Hamid, Ketua Biro Kebajikan Sabah Superintenden Laila Sagir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden George Abd Rakman.
“Jenazah mendiang Lans Koperal Bradford Bernard kemudian dibawa pulang ke rumah kediaman keluarganya di Kampung Inobong, Penampang dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Lampaki Eden, Inobong, Penampang hari ini (17 Februari),” katanya.
Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir di kediaman keluarga mendiang ialah Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II Jonathan Yasin.