KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini masing-masing melibatkan pekerja Mikrokredit dan makanan laut merangkumi daerah Kota Marudu, Kota Belud, Pitas, Kalabakan dan Tawau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Simpang Tiga merangkumi daerah Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas mencatatkan satu kes positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes.Â
“Kes indeks merupakan pekerja organisasi mikrokredit di Matunggong yang tinggal di Kota Belud.
“Indeks dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Kota Belud pada 06 Februari lalu. Hasil saringan kontak rapat mendapati 24 lagi kes positif Covid-19 dikesan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kluster kedua ialah Kluster Jalan Apas Empat di Kalabakan dan Tawau.
“Kes indeks merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat makanan laut telah dikesan positif Covid-19 melalui saringan PERKESO pada 02 Februari lalu.
“Hasil saringan kontak rapat sebanyak 21 lagi kes positif Covid-19 telah dikesan. Aktiviti pengesanan masih giat dijalankan,” katanya.