KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan daerah Keningau dikenali sebagai Kluster Patikang Ulu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu mencatatkan dua kes positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 37 kes.
“Kes indeks merupakan penduduk Kampung Patikang Ulu yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 5 Februari.
“Hasil saringan kontak rapat 36 lagi kes positif berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini ialah 116 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,332 kes.
Beliau berkata, satu kes kematian turut direkodkan hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu.