KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah pusat latihan agensi Kerajaan Persekutuan telah ditahan oleh SPRM Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya memberikan beberapa kontrak bernilai kira-kira RM36,000 kepada ahli keluarganya.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40an tersebut telah ditahan jam lebih kurang 12.15 tengah hari di Pejabat SPRM Sabah.
Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau memaklumkan saspek ditahan kerana memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan ICT serta pembekalan makanan yang berjumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarga.
Beliau berasa kecewa kerana masih terdapat kakitangan awam menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dengan memberikan kontrak-kontrak kepada ahli keluarga yang mana ia merupakan satu kesalahan di bawah Sek 23 ASPRM 2009, walaupun ingatan demi ingatan telah diberikan kepada pejawat awam tetapi ia masih berlaku lagi.
Dalam perkembangan lain, Karunanithy juga mengesahkan dua lagi individu telah ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sabah berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu beberapa hari lepas.
Katanya, kakitangan dari agensi yang sama berusia 39 dan 41 tahun itu telah ditahan pada hari ini (14 Feb 2021) jam lebih kurang 12.00 tengah hari di Pejabat SPRM Sabah atas kesalahan yang sama iaitu Sek 18 ASPRM 2009.
Beliau memaklumkan kesemua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.