Kerajaan GRS Peka Masalah Rakyat – Bung

oleh Jaafar Abdul Wahid

Advertisements

TONGOD : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan sebuah kerajaan prihatin yang memikirkan masalah rakyat, mencari jalan menyelesaikan masalah penduduk,  kata Dato’ Sri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri berkata sejak menerajui kerajaan negeri, tumpuan utama kerajaan ialah melaksanakan pembangunan   disamping menitikberatkan aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat. 

“Kita tidak mahu melihat rakyat susah, terus dibelenggu dengan masalah ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur ekonomi dan pendidikan, ” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan pelitup muka kepada penduduk Antilibon dan Keramuak, dekat sini baru baru ini.

Seramai 405 keluarga  dari 12 kampung di mukim Antilibon dan 250 orang keluarga di kampung Keramuak menerima sumbangan masing-masing yang diwakili Pengerusi  Jawatankuasa  Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKKK).

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Mohd Jasmin Juplin ,timbalan setiausaha tetap II Benedict Asmat dan Pengerusi penyelaras BN Tongod Datuk Juhari Janan.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan  berkata, pandemik Covid-19 antara lain membuktikan bagaimana kerajaan, yang diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam menguruskan wabak itu, begitu peka terhadap keluhan rakyat yang menghadapi kesukaran ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya pelbagai inisiatif diumum dan dilaksana kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi, Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), Bantuan Prihatin Nasional dan pakej Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion selain bantuan bantuan bakul makanan.

“Lebih jauh daripada itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM100 ribu kepada 31 orang  wakil rakyat dari Pembangkang bagi membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik Covid-19 ” jelas Bung.

Daripada aspek pembangunan infrastruktur, Menteri Kerja Raya itu berkata kerajaan juga tidak meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili pembangkang .

Menurut beliau kerajaan mempunyai makanisme untuk menyalurkan peruntukan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat meskipun diwakili oleh pembangkang dimana peruntukan akan disalurkan ke pejabat daerah atau jabatan berkaitan untuk diselaraskan dan dilaksanakan.

Dalam isu lain, Bung berkata keperluan pembangunan di kawasan tersebut seperti penambahbaikan sistem perhubungan jalanraya, bekalan air,api dan sistem perhubungan komunikasi akan diberikan perhatian agar rakyat di kawasan tersebut turut menikmati kemajuan sebagaimana yang dinikmati di kampung-kampung lain.

” Mengenai sistem perhubungan jalanraya ke kampung ini saya meminta jurutera daerah mengenal pasti jalan-jalan yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf dan kita akan laksanakan peringkat demi peringkat mengikut peruntukan yang dapat disediakan oleh kerajaan” jelas beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles