Tahun Baharu Cina di Sabah meriah dalam kebiasaan baharu


KUALA LUMPUR (BERNAMA): Perayaan Tahun Baharu Cina di Sabah, Sarawak serta Labuan tetap meriah dalam konteks tersendiri di sebalik keterbatasan amalan kebiasaan baharu serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

Advertisements

Tiada tarian singa yang menghingarkan suasana, sementara aktiviti kunjung-mengunjung digantikan dengan panggilan video bagi merapatkan silaturrahim dengan sanak saudara serta rakan taulan yang tinggal berjauhan.

Di Sabah, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dalam perutusannya bersempena sambutan itu memberi jaminan kerajaan negeri akan sentiasa mendengar permasalahan masyarakat, termasuk kaum Cina di negeri tersebut.

Kekuatan Sabah terletak pada rakyatnya. Kepelbagaian tradisi, etnik dan bahasa tidak memisahkan kita malah membina sebuah masyarakat harmoni.

Justeru, marilah kita bersama-sama merapatkan barisan ke arah Sabah lebih maju dan progresif,” katanya.

Sementara itu, masyarakat keturunan Tionghoa yang ditemui mengakui terasa “kesunyian” tanpa bunyi paluan gendang yang mengiringi persembahan tarian singa atau letupan mercun yang lazimnya memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina saban tahun.

“Pada kebiasaannya, saya akan menunggu kedatangan mereka (penari tarian singa) di depan rumah apabila terdengar bunyi gendang tarian singa. Saya akan bersedia untuk membuka pagar rumah dan menyediakan angpau kepada mereka,” kata Elaine Han, 29.

Setiausaha Persatuan Tarian-Tarian Naga dan Singa Lee Kiong Sabah Mie Mie Lee berkata lazimnya mereka menerima banyak tempahan untuk membuat persembahan setiap kali Tahun Baharu Cina, namun kali ini mereka akur dengan arahan yang tidak membenarkan persembahan itu diadakan.

“Kami juga menghentikan sementara waktu sesi latihan tarian singa. Tunggu kes COVID-19 menurun, barulah kami mulakan semula latihan. Sekarang, penari-penari menjalani latihan sendiri di rumah bagi terus mengasah kemahiran mereka,” katanya. — BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles