Gabungan Politik BN Formula Terbaik Untuk Kemakmuran Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Gabungan parti politik Barisan Nasional (BN) merupakan formula yang terbukti membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama. 

Advertisements

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak sekian lama BN yang dianggotai UMNO, MCA, MIC dan parti lain telah mewakili kepentingan segenap anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama. 

“Malaysia sukar mencapai kemakmuran seperti yang dicapai pada hari ini seandainya negara bermula dengan formula yang menghancurkan dan merobohkan. 

“Justeru, tidak keterlaluan apabila ada yang berpandangan jika berlaku perpecahan dalam BN, ia memberi maksud perpecahan dalam negara kerana sejak dulu rakyat bersatu mengikut prinsip BN,”  katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata walaupun terdapat formula baharu hampir sama cuba ditawarkan oleh bukan BN sejak 23 tahun lalu, tetapi malangnya ia tidak serupa.

“Benar ada formula baharu hampir sama cuba ditawarkan oleh bukan BN sejak 23 tahun lalu, tetapi malangnya ia tidak serupa. 

“Formula tiruan, maka hasilnya juga tiruan. Alternatif berpecah, pakatan berterabur, harapan berkecai. Pada akhirnya sejarah membuktikan BN tetap formula terbaik untuk acuan perpaduan rakyat,” katanya.

Beliau berkata: “BN terbukti tetap teguh walaupun terpalit riwayat hitam serangan dari dalam untuk meranapkan BN demi kepentingan mereka yang tersasar”.

Ahmad Zahid berkata walaupun apa terjadi namun pemimpin, ahli dan penyokong BN akan terus memperkasakan BN. 

“Mengukuhkan kerjasama dengan yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama.
“BN menyuluh semangat konsensus keamanan dan perpaduan. Memandu sejarah keharmonian berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles