Lima Zon Hadiri Taklimat Kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Lima zon sudah diberi taklimat berhubung Kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin setakat ini, kata Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Azman Mastar.

Advertisements

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata kejohanan itu akan disertai para pemain berusia 18 tahun ke bawah (B18) sahaja.

Lima zon tersebut ialah Zon Utara Bawah yang membabitkan pasukan Tuaran, Tamparuli, Penampang dan Kiulu, Zon Utara dianggotai Kudat, Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas, Zon Pedalaman Atas terdiri dari Ranau, Telupid dan Tongod, Zon Sandakan membabitkan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran dan Zon Tawau dianggotai Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kalabakan.

Menurut Azman, tiga lagi zon terdiri dari pada Zon Pantai Barat (Kota Kinabalu, Putatan dan Papar), Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Menumbok) dan Pedalaman Bawah (Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan) akan diberi taklimat dalam masa terdekat.

“Sehingga ini SAFA berpuas hati dengan penerangan yang diberikan memandangkan zon-zon yang dilawati memberi kerjasama yang sangat memberangsangkan terhadap kejohanan yang bakal diadakan itu,” katanya ketika ditemui di pejabat SAFA di sini.

Penolongan Setiausaha Agung SAFA itu berkata, tarikh sebenar kejohanan akan diputuskan sebaik sahaja kerajaan membenarkan semula penganjuran dan aktiviti sukan bolasepak.

Katanya, setakat ini perancangan yang dilakukan Jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA berjalan dengan baik dan pada masa yang sama mengharapkan kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan bolasepak supaya tarikh kejohanan itu dapat diputuskan.

Azman  memberitahu, Kejohanan Piala Bung Moktar adalah antara dua kejohanan yang akan diadakan tahun ini selain Kejohanan Piala Hajiji.

“Kita berharap wabak Covid-19 akan segera pulih dan kita akan dapat menjayakan kedua-dua kejohanan tersebut sekali gus membolehkan perancangan SAFA dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Selain memberi taklimat kepada zon-zon yang sudah dilawati, kata Azman, SAFA  memberi sumbangan baju, bola, pelitup muka dan kalender kepada wakil setiap daerah dalam zon terlibat.

Tambah beliau, tiga zon lagi iaitu Pedalaman Bawah, Pantai Barat dan Pantai Barat Selatan akan dikunjungi dan diberi taklimat dalam masa terdekat.

Beliau yakin semua lapan zon SAFA akan memberi kerjasama yang baik terhadap penganjuran kedua-dua kejohanan kerana didapati mereka sangat teruja dengan pendekatan baharu yang dibawa kepimpinan terkini dalam badan bolasepak negeri.

Turut bersama dalam program taklimat itu ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat, Timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA, Lokman Sunggim, bendahari jawatankuasa pertandingan tempatan, Abdul Agas dan ahli jawatankuasa, Malim Surat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles