KOTA KINABALU: Hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kes kematian anak gajah Pigmy berhampiran Kampung Imbak, Tongod khamis lalu.
Ketika membuat seruan itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata jika siasatan terhadap kematian gajah itu menunjukkan terdapat unsur jenayah, maka orang yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
Gajah yang mati itu ditemui dengan kesan tembakan serta kulit disiat.
Beliau berkata Kementerian itu komited dalam memelihara hidupan liar dan alam semula jadi yang ada di negeri ini.
“Bagaimanapun, ada segelintir individu tidak bertanggungjawab tidak dapat melihat kesungguhan kerajaan dalam hal ini,
“Kita tidak mahu hidupan liar ini akhirnya tinggal dalam bentuk gambar atau penceritaan semata-mata,” katanya.
Jafry berkata, kementerian bertekad memperkemaskan lagi Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, sekali gus membantu mengekang aktiviti pembunuhan spesies haiwan dilindungi di Sabah.
Pada khamis lepas, seekor gajah Pigmy Borneo ditemukan sudah mereput dengan kesan tembakan dan tetakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kg Imbak, Tongod.
Menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Agustine Tuuga, gajah berkenaan dipercayai sudah mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum ditemui.