UMNO sepatutnya berpeluang selesaikan masalah infrastruktur semasa berkuasa bukan menyalahkan orang lain -LDP

11 Mac 2025

KOTA KINABALU: UMNO Sabah, terutamanya di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar digesa menghentikan budaya menyalahkan orang lain dan mengambil tanggungjawab atas masalah infrastruktur yang ditinggalkan parti itu.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong ketika membuat gesaan itu menegaskan, daripada menuding jari kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO sepatutnya menjelaskan mengapa masalah ini wujud sejak dari awal.

David mengulas reaksi terhadap kenyataan terbaru Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Alfian Sambas, yang menuduh GRS gagal menguruskan isu infrastruktur, sebaliknya mengabaikan fakta bahawa UMNO sendiri bertanggungjawab atas salah urus projek-projek tersebut.

“Bung Moktar, selaku bekas Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya (Jabatan Kerja Raya), gagal menyelesaikan masalah jalan raya yang telah lama membelenggu Sabah, yang masih kekal antara yang terburuk di Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

David berkata, UMNO mempunyai peluang untuk menyelesaikan masalah infrastruktur semasa parti itu berkuasa.

“Apa sebenarnya yang telah dilakukan UMNO Sabah untuk memperbaikinya di bawah kepimpinan Bung Moktar? Sebagai Pengerusi BN Sabah sejak Disember 2018, Bung tidak menyumbang apa-apa selain kes rasuah, bukan pembangunan.

Sebagai contoh Kinabatangan, kawasan Bung Moktar sendiri. Semasa beliau bertanggungjawab ke atas infrastruktur awam, jalan-jalan di sana berada dalam keadaan teruk dipenuhi dengan lubang, tidak diselenggara dengan baik, dan berbahaya kepada pengguna jalan raya. Adakah beliau membaikinya? Tidak.

Hanya selepas kerajaan GRS mengambil alih tampuk kerajaan, pembaikan dan penambahbaikan sebenar mula dilaksanakan,” katanya.

David berkata, perkara yang sama berlaku ke atas krisis air di Sabah. Bung Moktar berada dalam kedudukan untuk menangani masalah bekalan air yang telah lama berlarutan, tetapi sebaliknya, UMNO lebih mengutamakan berpolitik dan meninggalkan masalah itu untuk ditangani oleh kerajaan GRS.

“Berbeza dengan kerajaan GRS yang telah mendapatkan peruntukan RM320 juta daripada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang kritikal dan memperluaskan loji rawatan air,” katanya.

David berkata, kerajaan Negeri yang dipimpin GRS telah memperuntukkan RM2.6 bilion untuk pembaikan infrastruktur.

“Jika Bung Moktar dan pemimpin parti itu benar-benar mengambil berat tentang Sabah, saya menggesa beliau untuk menggunakan pengaruhnya dalam UMNO bagi mendapatkan peruntukan RM1 bilion untuk pembaikan jalan persekutuan.

Itu akan menjadi sumbangan yang jauh lebih berguna daripada retorik kosong mereka.
Rakyat Sabah mahukan tindakan sebenar, bukannya banyak alasan.

Sementara UMNO hanya bercakap, GRS bekerja. UMNO Sabah harus berhenti memainkan watak mangsa dan mulalah bertanggungjawab,” tegasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles