KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan rasa kesal terhadap cubaan pihak kerajaan GRS untuk memfitnah ADUN UMNO berhubung isu rasuah seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.
Menurutnya tindakan itu bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel Malaysiakini, iaitu Datuk Arifin Mohd Arif, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan ADUN UMNO dalam isu itu.
“Isu video tular yang membabitkan skandal rasuah ADUN Sabah ini sukar untuk dinafikan lagi.
“Rakyat sudah mula sedar akan kebenarannya, dan hanya penyokong tegar parti mereka sahaja yang masih cuba mempertahankan sesuatu yang jelas terbongkar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Bung yang juga anggota Parlimen Kinabatangan menggesa pihak SPRM supaya segera mengambil tindakan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Mereka yang melakukan kesalahan harus bertanggungjawab sepenuhnya. Jangan cuba melarikan diri atau berdolak-dalik apabila kebenaran terbongkar.
“Saya juga melihat bahawa kepimpinan GRS semakin tersasar, ibarat sesat di jalan yang terang, menghalalkan pelbagai cara demi menyelamatkan kuasa mereka.,” katanya.
Namun, Bung berkata hakikatnya, perahu yang mereka naiki semakin bocor dan hanya menunggu masa untuk karam di tengah lautan.
