Dua bencana alam landa Karamunting, keselamatan penduduk jadi keutamaan

SANDAKAN: Dua bencana alam melanda kawasan Karamunting pagi ini (Selasa) mencetuskan kebimbangan di Jalan Lee Tung Sang dan Jalan Estate Connector, dekat sini.

Sebuah rumah kayu hampir musnah selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Lee Tung Sang, namun dua warga emas di dalamnya bernasib baik apabila terselamat tanpa sebarang kecederaan, walaupun mengalami kejutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, segera menghentikan tugas rasminya di Kota Kinabalu dan bergegas ke lokasi sebaik menerima berita mengenai insiden itu.

Beliau terus meninjau kawasan terjejas, membantu usaha kecemasan, dan menemui keluarga yang terkesan.

“Kejadian ini melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh yang mengenai dapur sebuah rumah. Mujur penduduk segera menghubungi Pasukan Task Force Team ADUN Karamunting, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Angkatan Pertahanan Awam (APM). Respon pantas mereka berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan kejadian lebih buruk,” katanya.

Tanah runtuh turut berlaku di Jalan Estate Connector, menutup laluan jalan raya. Kontraktor dari Jabatan Kerja Raya bertindak pantas, bersama agensi lain, membersihkan lumpur dan runtuhan untuk memastikan keselamatan penduduk.

Pokok tumbang yang merosakkan dua buah rumah kayu, termasuk kediaman dua warga emas, masih belum dialihkan sepenuhnya atas nasihat pihak Bomba dan APM.

George menekankan bahawa Pasukan Tugas Karamunting kini dalam keadaan berjaga-jaga 24 jam untuk memastikan tiada risiko lanjut terhadap penduduk.

Penduduk yang terjejas meluahkan rasa lega dan bersyukur atas tindakan pantas pasukan kecemasan, dan berterima kasih ke atas keprihatinan George.

“Keselamatan penduduk adalah keutamaan saya. Kami akan terus memantau kawasan ini dan memastikan semua langkah diambil untuk melindungi mereka,” tambah George, sambil menyeru penduduk supaya berwaspada.

Beliau turut mengingatkan agar penduduk segera melaporkan sebarang insiden kepada pihak berkuasa, terutama sepanjang musim hujan ini yang membawa risiko tanah runtuh dan bahaya yang lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles