TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar lewat malam tadi berkesempatan menziarahi dan meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini.
Beliau melawat tiga PPS iaitu PPS Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, PPS Rumah Kebudayaan Kampung Pantongan Saga dan PPS Rumah Kebudayaan Kampung Mandalom Lama.
Menurut Jamawi, ketiga-tiga PPS tersebut mula dibuka pada jam 3 petang kelmarin oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Tenom yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
“Bantuan-bantuan awal telah pun diberikan oleh Jabatan Kebajikan Tenom, Pejabat Parlimen Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Beliau berkata, pengagihan bantuan bakul makanan dan air minuman kepada semua mangsa banjir akan diteruskan pada Selasa.
Jamawi ditemani Pegawai Daerah Tenom, Ketua Daerah Tenom, Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom, kakitangan Jabatan Kebajikan Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap semasa lawatan tersebut.
“Saya amat bersimpati dengan semua mangsa banjir yang terlibat. Semoga sentiasa tabah menghadapi dugaan bencana banjir ini. Saya akan usahakan membantu sebaiknya,” katanya.
