KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bahagian Inanam menggesa presiden STAR yang juga Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan supaya memperincikan kepada rakyat Sabah inisiatif yang dilakukannya bagi merealisasikan penubuhan Kolej KDM selepas pelancaran majlis pecah tanah pada tahun 2012.
Ketua Penyelaras KDM Inanam, Datuk George Guntarik berkata sebagai pejuang hak-hak Sabah dan wakil rakyat Tambunan, Jeffrey perlu memperjelaskan status terkini projek itu selepas 12 tahun diluluskan.
“KDM Inanam berharap Kolej KDM ini dapat direalisasikan demi memperkasakan bidang pendidikan seperti yang dijanjikan bukan setakat retorik politik,” katanya di sini hari ini.
Penubuhan Kolej KDM telah dirasmikan pecah tanah oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Pisompuruan Tambunan pada jun 2012.
Ketika berucap sempena majlis pecah tanah Kolej KDM, Najib dipetik sebagai berkata bahawa ia antara lain bermatlamat untuk menyerlahkan lagi penyertaan rakyat khususnya masyarakat KDM dalam arena pendidikan negara.
Sambil menyifatkan penubuhan kolej itu sebagai langkah yang tepat, Najib berkata kerajaan Persekutuan menyokong penubuhan Kolej KDM yang bakal dibina di Kaingaran, Tambunan itu, sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar dari kawasan pedalaman Sabah untuk meneruskan pelajaran di kolej berkenaan.