Pengguna disaran tingkat pengetahuan hak kepenggunaan untuk elak ditipu – YPNM

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah akan terus menggiatkan usaha melaksanakan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengetahuan hak-hak kepenggunaan dalam kalangan rakyat.

Advertisements

Pengerusinya, David Chan berkata, usaha itu penting sejajar dengan peningkatan kes-kes penipuan khususnya melibatkan jenayah siber dan online selain isu harga dan kualiti barangan.

“Sehubungan itu, kita akan melaksanakan beberapa inisiatif merangkumi kempen pendidikan, sumber maklumat dan bantuan atau nasihat langsung kepada mereka yang menjadi sasaran penipuan.

“Usaha ini penting untuk memberi kuasa kepada pengguna agar dapat mengenali modus operandi penipuan yang semakin berleluasa sekali gus mengelak daripada tertipu dan berhadapan dengan kerugian,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali termasuk  kewangan khususnya melalui panggilan telefon, e-mel atau laman web yang meragukan.

Mereka juga mesti membuat semakan kesahihan sumber sebelum membuat sebarang transaksi atau memberi maklumat lanjut

“Hubungi organisasi yang diperkatakan secara langsung melalui nombor telefon atau laman web rasmi mereka. Berhati-hati dengan ‘tawaran yang terlalu baik atau terlalu menguntungkan’.

“Tawaran yang kelihatan terlalu bagus biasanya adalah penipuan atau unsur-unsur cubaan memperdaya. Gunakan akal sihat dan waspada terhadap tawaran yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan kata laluan yang kuat dalam apa juga urusan secara online selain tidak menggunakan kata laluan yang sama untuk beberapa akaun.

Selain itu, orang ramai perlu sentiasa mengemas kini perisian kerana perisian komputer, antivirus dan peranti mudah alih yang sentiasa dikemaskini mampu melindungi daripada ancaman siber atau godaman.

“Para pengguna perlu berhati-hati dengan sebarang pautan atau lampiran yang diterima dan tidak sesekali klik pada pautan atau lampiran yang mencurigakan.

“Ia mungkin mengandungi perisian hasad yang dapat melihat aktiviti mangsa serta mencuri maklumat yang dimiliki. Jika mengesyaki anda telah menjadi mangsa penipuan, laporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan atau organisasi perlindungan pengguna,” ujar beliau.

Pengguna boleh menghubungi e-aduan.kpdn.gov.my, Tel: 088-484564 (Pejabat KPDN Sabah), Whatsapp: http://www.wasap.my/+60192794317/Aduan+Pengguna atau polis 997.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles