KUSKOP lancarkan sambutan Hari Perusahaan Sosial Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan sambutan Hari Perusahaan Sosial Negara yang julung kalinya diadakan tahun ini.

Advertisements

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menterinya Datuk Ewon Benedick, di Asia School of Business (ASB), di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Ahmad, pegawai-pegawai kanan kementerian, ketua-ketua agensi kementerian, korporat, institusi kewangan, usahawan sosial dan belia daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon mencadangkan supaya sambutan Hari Perusahaan Sosial dijadikan acara tahunan di negara ini dan disambut pada tarikh yang sama seperti World Social Enterprise Day.

“Sambutan Hari Perusahaan Sosial buat julung kalinya diadakan pada tahun ini dan saya berharap, ia akan dijadikan satu acara tahunan bagi perusahaan sosial di Malaysia.

“Walaupun Hari Perusahaan Sosial di peringkat global disambut pada hari Khamis ke-3 bulan November setiap tahun, namun kita mengadakan sambutan Hari Perusahaan Sosial Tahun 2024 pada hari ini bersempena dengan SEMAI Summit 2024,” katanya.

Ewon berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah baik ekosistem keusahawanan sosial bagi membangunkan lebih banyak perusahaan sosial di Malaysia.
 
“Kementerian telah menambahbaik kerangka penarafan perusahaan sosial supaya proses penilaian penarafan menjadi lebih telus dan berkesan.
 
“Selain itu, satu tahap penarafan baharu telah diperkenalkan iaitu Tunas Perusahaan Sosial atau Aspiring SE. supaya lebih banyak usahawan baru menceburkan diri dalam perusahaan sosial dapat diberi penarafan dan galakan untuk menjadi perusahaan sosial,” katanya.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada Januari 2024 sehingga kini, sebanyak 79 perusahaan sosial telah mendapat penarafan Tunas Perusahaan Sosial.

“Bilangan perusahaan sosial yang mendapat penarafan Perusahaan Sosial Asas pula ialah 224 manakala Perusahaan Sosial Diakreditasi ialah 20 sehingga 27 Mei 2024,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan Sijil Penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi kepada 15 daripada 20 usahawan sosial yang telah berjaya mendapat penarafan tersebut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles