KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa menyediakan latihan kepada semua pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk latihan membudayakan Sustainable Development Goals (SDGs).
KPKT dalam satu jawapan bertulis sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini memaklumkan, untuk itu Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) memainkan peranan sebagai Centre Of Excellence dalam menyediakan latihan kepada PBT di seluruh Malaysia.
“I-KPKT menyediakan kursus-kursus yang berkait rapat dengan pengoperasian serta perkhidmatan PBT secara umum, manakala program-program pembangunan dan pemerkasaan Pegawai Daerah adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri masing-masing.
“Setiap tahun, I-KPKT menganjurkan pelbagai program berbentuk latihan/kursus dan penganjuran seminar melalui enam pusat pengajian utama.
“Ia merangkumi Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Urbanisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Pengurusan Landskap, Pusat Pengajian Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan, Pusat Pengajian Pemahaman dan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Pusat Pengajian Pengurusan Perumahan,” katanya.
Jawapan bertulis tersebut sebagai respons terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO – Tuaran) di sini, pada Selasa.
Menurut KPKT, latihan turut diberikan kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan di PBT supaya semua pegawai dapat menyumbang kepada pembangunan di kawasan masing-masing serta membudayakan SDGs yang terdapat di dalam modul-modul latihan yang diberikan oleh I-KPKT.
Terdahulu, Madius dalam soalannya meminta KPKT menyatakan program dan langkah Kementerian dalam membina keupayaan 171 Pegawai Daerah dan 155 Ketua PBT di seluruh negara dalam membudayakan SDGs dalam tugasan masing-masing dengan swasta/industri, komuniti/kumpulan.
Mengulas lanjut, KPKT dalam jawapan bertulis yang sama juga memaklumkan, kementerian itu melalui URBANICE Malaysia telah menyediakan lapan Laporan Hala Tuju dan Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan PPBT atau Voluntary Local Review (VLR) berkenaan pelaksanaan SDGs.
“Dalam proses penyediaan laporan tersebut, beberapa sesi libat urus dengan PBT dan Pejabat Daerah yang berkaitan telah diadakan.
“Yang Dipertua Majlis, Pegawai Daerah, Pegawai Kanan PBT dan Ketua Komuniti yang berkaitan telah terlibat secara aktif dalam sesi libat urus ini.
“Laporan VLR ini boleh dijadikan rujukan di peringkat PBT mengenai tindakan yang boleh diambil untuk mempergiatkan dan membudayakan pelaksanaan SDGs di peringkat tempatan,” jelas KPKT.
Beberapa program dan agenda pembangunan mampan serta tadbir urus SDGs di peringkat tempatan juga telah diadakan untuk meningkatkan pembangunan kapasiti dan membudayakan SDGs dalam kalangan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Pegawai-pegawai PBT dan Pejabat Daerah.
“Antaranya, penganjuran acara tahunan Forum Bandar Malaysia (Malaysia Urban Forum – MUF) oleh KPKT dan URBANICE Malaysia sejak tahun 2019.
“Turut diadakan penganjuran Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan URBANICE Malaysia pada tahun 2018, 2019 dan 2023.
“Semasa penganjuran Konvensyen PBT Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) Perak, KPKT telah memberi penekanan kepada aspek pembudayaan SDGs kepada semua Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha dan Ahli Majlis PBT.
“Antara kandungan program yang dikongsikan sebagai amalan terbaik dari pelbagai PBT adalah seperti Pelan Adaptasi PBT Pada Perubahan Iklim, EV Charging for Electric Car, Sistem Solar di Kawasan Pentadbiran Majlis, dan Pusat Inovasi @ Sepang (Recycle Used Cooking Oil).
“Turut dibentangkan ialah Ipoh Bandar Hijau Pintar 2030, Iskandar Puteri Rendah Karbon Bersama Komuniti, Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 (PJSSR 2030), dan Agenda Global dan Tindakan Tempatan Ke Arah Agenda Mampan 2030.
“Topik-topik seperti ini dapat meningkatkan pengetahuan pegawai-pegawai PBT mengenai SDGs dan seterusnya membolehkan mereka mengambil kira SDGs dalam tugasan masing-masing,” ujar KPKT lagi.