Penganalisis politik, Mohd. Zaki Harry Susanto
KOTA KINABALU: Impian jutaan rakyat Sabah yang mahu melihat titik noktah budaya politik “Buhangkot” (katak) bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.
Ini bermakna persepsi rakyat yang sering mengaitkan segelintir ahli politik Sabah dengan jolokan raja katak, bonong dan buhangkot akan “terpadam” buat selama-lamanya.
Tumpuan rakyat Sabah kini terfokus kepada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang diadakan minggu depan.
Seperti yang dijangka, kerajaan negeri Sabah difahamkan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan DUN yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew baru-baru ini.
Setakat ini, semua parti politik di Sabah termasuk blok kerajaan, Warisan, BN dan KDM telah menyatakan sokongan terhadap akta itu.
Mengikut peruntukan Akta Lompat Parti yang sudah dilulus dan dikuatkuasakan di peringkat Parlimen dan bakal dikuatkuasakan di peringkat negeri Sabah, seseorang Ahli Parlimen (atau wakil DUN) yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.
Ini merupakan intipati utama akta itu yang dijangka mampu menstabilkan keadan politik di Sabah. Sebelum ini, beberapa kerajaan negeri Sabah “tumbang” akibat budaya lompat parti atau yang lebih dikenali budaya katak.
“Sekiranya rang undang-undang anti lompat parti diluluskan dalam sidang DUN Sabah akan datang, ia adalah hadiah simbolik istimewa kepada rakyat Sabah yang merayakan sambutan Pesta Kaamatan (bulan Mei) dan menyaksikan terkuburnya gelaran ‘buhangkot’ dalam pentas politik Sabah,” kata Penganalisis politik, Mohd. Zaki Harry Susanto.
Menurut Zaki, rang undang-undang anti lompat itu perlu segera diluluskan di DUN Sabah.
Katanya ini kerana rakyat sudah muak dengan polemik politik yang penuh dengan kejutan serta sering mencetuskan kekeliruan.
Zaki berkata, rakyat Sabah sebenarnya menginginkan sebuah kerajaan yang kukuh demi kestabilan ekonomi dan kesinambungan pembangunan prasarana negeri ini.
“Aspirasi rakyat Sabah kini semakin jelas dan matang. Rata-rata menginginkan iklim politik yang lebih bersifat lokal dan memperjuangkan MA63 tetapi dalam masa yang sama meneruskan sokongan kepada kerajaan pusat.
“Senario ini diterjemahkan oleh kerajaan semasa di Sabah dan jelas lebih membawa laba kepada negeri ini secara keseluruhannya.
“Untuk itu, kerajaan semasa di Sabah perlu dipertahankan kerana kini lebih kukuh setelah mendapat sokongan lebih 2/3 daripada Wakil Rakyat DUN Sabah.
“Ini bermaksud, satu undang-undang perlu digubal dan dikuatkuasakan supaya tiada lagi cubaan menggoncang kedudukan kerajaan negeri ini sekaligus mampu menolak tindakan ‘menangguk di air keruh’ oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.