Prosedur permohonan dipermudahkan bagi percepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam

REMBAU (Negeri Sembilan) : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mempermudahkan prosedur permohonan di peringkat negeri dan ibu pejabat bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

Advertisements

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata prosedur permohonan dan semakan yang dilaksanakan di tiga peringkat sebelum ini iaitu daerah, negeri dan ibu pejabat telah dikurangkan kepada satu peringkat sahaja iaitu di peringkat negeri dan hanya kelulusan bayaran di peringkat ibu pejabat.

“Bayaran subsidi yang diluluskan dikreditkan ke dalam akaun penternak yang berjaya dalam masa tiga hari sahaja. MAFI komited untuk memastikan pemberian subsidi ini dilaksanakan dengan kadar segera dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada para penternak” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada lawatan di Kilang Pemprosesan Ayam Worldsign Industries Sdn. Bhd. di Rembau, hari ini, bagi melihat kelangsungan operasi di kilang-kilang ayam bagi memastikan pemprosesan dan pembungkusan ayam terus lancar bagi memenuhi keperluan tempatan.

Sehubungan itu, katanya, penternak diminta untuk mengemukakan hanya borang-borang permohonan dan dokumen sokongan seperti invois jualan, pesanan penghantaran pembelian anak ayam, dan salinan perjanjian kontrak antara integrator/penternak kontrak bagi menuntut subsidi dalam tempoh permohonan sebagaimana yang telah ditetapkan.

Borang permohonan subsidi boleh diperolehi dari laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar, www.dvs.gov.my.

Ronald berkata MAFI terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kembali beroperasi dalam skala penuh khususnya dengan pemberian subsidi oleh Kerajaan untuk pengeluaran bermula 5hb Februari 2022 hingga 5hb Jun 2022 atau sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Katanya ini bagi meringankan beban para penternak sekaligus memastikan bekalan ayam dan telur dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.

Menurutnya sebanyak RM528.52 juta telah disediakan oleh Kerajaan untuk pemberian subsidi kepada penternak ayam. Kadar pemberian subsidi setakat ini adalah sebanyak RM0.60 perkilogram bagi ayam pedaging dan RM0.05 sebiji bagi telur semua kategori melibatkan penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak dengan anggaran seramai 2,255 orang penternak menikmati subsidi ini.

Beliau berkata pemberian subsidi kepada penternak ayam merupakan intervensi sementara dalam menangani kos pengeluaran yang meningkat dan pada masa sama untuk menjamin bekalan ayam kekal stabil serta memastikan rakyat dapat menikmati harga ayam dan telur yang berpatutan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga mengambil maklum walaupun pemberian subsidi telah mula dinikmati oleh penternak namun kos pengeluaran terus meningkat.

Pada bulan April 2022, harga jagung bijian telah meningkat lagi sebanyak 13.41 peratus manakala harga soybeans meal meningkat sebanyak 10.57 peratus berbanding bulan Mac 2022.

Ini menyebabkan kos pengeluaran ayam di ladang telah meningkat sebanyak 10.77 peratus, iaitu dari RM6.50/kg kepada RM7.20/kg.

Ronald berkata tindakan proaktif akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memastikan kelangsungan dan kemampanan industri penternakan ayam walaupun negara sedang berdepan dengan peningkatan kos input pengeluaran berterusan yang merupakan fenomena global.

Pada masa yang sama, katanya, MAFI juga sedang mengkaji keperluan untuk melanjutkan tempoh kelulusan kuota import ayam dengan mengambilkira penilaian keperluan bekalan negara. Kerajaan telah memberi kebenaran untuk mengimport ayam sehingga 10,000 tan metrik sebulan dari loji yang diiktiraf oleh Kerajaan di negara Thailand, China dan Brazil sebagai langkah intervensi sementara tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata buat masa ini, syarikat-syarikat telah diberi kelulusan kuota untuk tempoh dari Disember 2021 sehingga Mei 2022 dan akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam bulat dalam negara mencukupi.

Tambahnya MAFI akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui pelbagai usahasama strategik dan sinergi terutamanya dengan kolaborasi bersama Kementerian dalam memastikan industri ternakan kekal mampan, rakyat mendapat akses sumber protein dengan harga berpatutan dan sekuriti makanan negara terus terjamin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles