KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya menghentikan apa juga cadangan untuk memberikan dokumen kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan, Jafery Jomion yang sering bersuara mengenai PATI sebelum ini turut meminta supaya kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunaikan janji kepada rakyat sebelum berjaya mengalahkan kerajaan Warisan pada 2020.
“Kita harus mengkaji dan melihat semula sejarah pihak kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menangani masalah PATI di mana IMM13 adalah dokumen pertama diguna pakai ada tahun 1972 hingga 1984.
“Dokumen ini dikeluarkan untuk membenarkan pelarian perang Filipina tinggal dan bekerja di Sabah dengan kos RM90 setahun berbanding pendatang Filipina yang datang secara sah terpaksa membayar lebih dari RM400 untuk kos pasport termasuk jaminan permit kerja yang mencecah ribuan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, walaupun IMM13 membenarkan pelarian tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan sahaja namun ia berjaya mendaftarkan seramai 73,000 orang dan setakat 2010 menurut kajian ia sudah mencapai 84,000 orang.
“Projek IMM13 ini murah tetapi gagal kerana masih ramai lagi PATI berkeliaran dan tanpa rasa takut diganti pula dengan Kad Burung-Burung pada tahun 1986 hingga 1988 dengan fungsi yang sama seperti IMM13.
“Tetapi selepas hampir 20 tahun kajian semula mendapati hanya yang tinggal 9,000 orang masih lagi pelarian dan selebih 316,000 orang hilang tanpa dikesan atau sudah menjadi ‘warga ekspres’ atau pemegang ‘projek IC’ yang cukup terkenal pada awal tahun 80-an,” katanya.
Jafery berkata, hasil bancian yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan berjaya mendaftarkan 300,000 orang pada tahun 1990 hingga 1991 di 32 kawasan skim penempatan pelarian di negeri ini.
“Bagaimanapun, bukan semua mereka pemegang status pelarian lagi selepas 19 tahun kerana ramai yang sudah berstatus Penduduk Tetap (PR), warganegara atau tiada kewarganegaraan (stateless).
“Bancian kedua pelarian yang tiada IMM13 dari tahun 1991 hingga 2007 telah berjaya didaftarkan iaitu seramai 59,237 orang mendapat Sijil Banci dan sehingga 2011 bancian tidak lengkap kecuali 2012 seramai 69,317 orang mendaftar namun tiada sijil dikeluarkan oleh pihak agensi Petugas Khas Persekutuan.
“Oleh itu, daripada jumlah yang dicatatkan, ini bermaksud selepas 40 tahun iaitu dari tahun 1970 hingga 2010 dan berdasarkan kepada kadar pertumbuhan penduduk mereka yang subur dijangka sudah melebihi 1.6 juta orang tetapi kenapa hanya tinggal 136,055 orang saja pemegang 1MM13, Burung Burung dan Sijil Banci pada tahun 2020?
“Adakah 1.464 juta orang itu tidak dapat dikesan termasuklah dalam kumpulan penceroboh Sulu Lahad Datu yang memegang kad pengenalan Malaysia, sudah menjadi warganegara dan berhijrah ke semenanjung atau mereka sengaja tidak perbaharui dokumen kerana takut dikesan sebagai pesalah sivil atau sebagainya,” soalnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, seharusnya pendekatan terbaik yang perlu dilakukan adalah mengikut saranan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan iaitu mengunakan undang-undang sedia ada sama ada PATI ditangkap, rotan dan dihantar semula ke negara asal seperti yang dilasanakan Singapura.
“Singapura adalah negara yang terbaik dijadikan rujukan dalam menanggani masalah PATI atau gunalah kaedah yang lebih berkesan.
“Rasanya, tidak perlu kita keluarkan kad warga asing untuk mengantikan IMM13, kad Burung-Burung atau kad banci seperti sebelum ini.
“Cuma pertimbangkan Kad Pekerja Asing yang didaftarkan majikan atau sesiapa yang ingin menjadi penjamin dengan kadar bayaran yang minumum supaya bukan saja kerajaan akan dapat data tetapi rakyat atau penjamin juga dapat memantau keberadaan mereka.
“Sekiranya mereka menimbulkan masalah, penjamin boleh melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya.
Jafery dalam pada itu menjelaskan bahawa pekerja asing dalam sektor pembinaan menerima gaji antara RM60 hingga RM100 sehari dan pendapatan itu lebih besar berbanding warga tempatan yang kini hanya menerima gaji minimum sebanyak RM1,200.
“Oleh itu, tiada alasan untuk mereka tidak mampu membayar kos pasport atau Kad Perkerja Asing sekiranya mereka ada niat yang baik untuk mencari rezeki.
“Sekiranya mereka gagal dalam hal mendaftar atau mendapatkan kad pekerja asing ini bermaksud mereka malas dan mungkin terlibat dengan jenayah,” katanya.