KADA Tandatangan MoU Projek Smart Sawah Berskala Besar Dengan Bernas

PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) bagi pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang merupakan salah satu program peningkatan hasil padi negara, pada satu majlis yang diadakan di Ladang Merdeka Jelor, Pasir Puteh.

Pengurus Besar KADA, Nik Roslan bin Idris mewakili KADA menandatangani MoU tersebut manakala BERNAS pula diwakili oleh Ketua Bahagian Pembangunan Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan, Abdul Rahman Mohd Nasri dan yang disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Berucap pada majlis itu, Dr Ronald berkata, dengan kepakaran kedua-kedua agensi ini, akan berlaku lonjakan peningkatan hasil padi khususnya di dalam kawasan KADA ini.
‘Dengan pengalaman yang dimiliki dan sokongan serta kerjasama daripada golongan sasar kita iaitu petani, sudah pasti kerjasama dalam program SMART SBB ini akan membuahkan hasil yang lebih baik,’ kata beliau.
Menurut Dr Ronald, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mula melaksanakan program SMART SBB yang merupakan kerjasama pintar awam dan swasta untuk membangunkan kawasan penanaman padi secara berperingkat di Semenanjung Malaysia. Pendekatan ini adalah sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.
‘Jalinan kerjasama pintar dan strategik awam dan swasta ini telah bermula sejak Februari 2021 dan setakat ini terdapat penyertaan lapan belas (18) syarikat peneraju yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar,’ jelas Dr Ronald
Tambah beliau lagi, program ini terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah serta pengusaha dengan pengurusan sumber secara optimum melalui program penyatuan tanah sawah. Kejayaan Program SMART SBB telah diterjemahkan melalui pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) MAFI.

Untuk rekod, setakat Oktober 2021 sahaja, seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,778 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.
Menurutnya, program SMART SBB ini merupakan hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang sedang dilaksanakan oleh MAFI bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai SSL beras yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu sebanyak 75 peratus.
Beliau yakin dengan kesungguhan semua, program ini bakal mencapai kejayaan besar yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar.
Tambah beliau lagi, sebelum ini Kementerian melalui agensi di bawahnya telah meperkenalkan beberapa program sawah berskala besar seperti Projek Pemacu Pertanian (PPP) dibawah NKEA – Penanaman Padi Berskala Besar yang telah dilaksanakan di KADA, projek Mini Estet Padi dan projek Ladang Merdeka dan kini sudah tiba masanya semua pihak untuk mengorak langkah yang lebih ke depan dengan memberikan peluang kepada pihak swasta untuk turut serta menyumbang kepakaran dan tenaga dalam usaha membantu meningkatkan hasil padi seterusnya menjadi penerajui industri padi beras negara.
Ujarnya, penglibatan pihak swasta ini juga dilihat mampu memberikan nafas dan semangat baru kepada industri padi dan beras negara melalui pendekatan baru dengan memanfaatkan sumber modal pembiayaan swasta semaksimum mungkin dan akan mengurangkan tanggungan kewangan Kerajaan dalam jangka masa panjang.
Beliau melihat program SMART SBB ini sebagai satu peluang kerjasama strategik yang menguntungkan pesawah selain menjadikan mereka sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan sektor padi dan beras di negara ini.
Pengurangan keluasan kawasan padi di dalam kawasan jelapang KADA semakin membimbangkan. Keadaan ini berlaku disebabkan antara lain disebabkan pembangunan projek komersil dan perumahan. Keluasan kawasan padi KADA telah menyusut sebanyak 14 peratus iaitu hampir 5,000 hektar bagi tempoh 20 tahun bermula 2000.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia sudah pasti akan mengurangkan pendapatan dan jumlah hasil padi yang diperolehi. Tanpa program-program berskala besar seperti SMART SBB, sudah pasti jumlah hasil ini tidak dapat ditingkatkan.
Sebagai projek rintis SMART SBB KADA-BERNAS, sebanyak 134 hektar tanah sawah telah diperuntukkan iaitu 100 hektar di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas telah diperuntukan untuk diusahakan bersama dengan BERNAS, sementara itu sebanyak 34 hektar lagi melibatkan Ladang Merdeka Jelor, di Pasir Puteh dengan anggaran kos keseluruhan melibatkan hampir RM10 juta bagi tempoh 15 tahun pelaksanaan projek merangkumi kos infrastruktur dan pengairan serta proses penyuburan tanah
Program ini akan terus diperkasa dan sokongan semua pihak diperlukan selari dengan matlamat Kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara sepanjang masa sekaligus membela golongan petani, penternak dan nelayan.
Dalam majlis yang sama, Dr Ronald juga telah melancarkan Logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KADA.
Beliau turut rakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua warga kerja KADA sejak dari penubuhannya pada tahun 1972 hingga kini atas segala jasa dan khidmat bakti, sepanjang tempoh 5 abad atau 50 Tahun ini. KADA dilihat sebagai sebuah agensi yang sentiasa berusaha keras dalam meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan petani di kawasannya, sekaligus menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.
Turut hadir, YB Dr Nik Muhammad Zawawi Bin Nik Salleh, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, YB Haji Tuan Mohd Saripudin Bin Tuan Ismail Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar YBhg Datuk Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), MAFI, Datuk Badrul Hisham Bin Mohd, Pengurus Besar KADA, YB Dato’ Che Abdullah Bin Mat Nawi, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Tuan Hj Nik Roslan Idris serta En Abdul Rahman Mohd Nasri, Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan mewakili YBhg Datuk Haris Fadzilah Hassan, Pengarah Urusan Kumpulan Bernas.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles