Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 Memacu Hala Tuju Sektor Agromakanan Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021- 2030 (DAN 2.0) hari ini secara maya. DAN 2.0 ini mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi. Ia bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selain mengutamakan sekuriti serta nutrisi makanan negara.
Majlis Pelancaran DAN 2.0 yang diadakan secara hibrid bertempat di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur dihadiri oleh 200 orang pegawai kanan agensi Kerajaan, ahli akademik, pemain industri, sektor swasta, NGO dan kumpulan sasar. Selain itu, majlis tersebut juga disertai oleh lebih daripada 1,000 warga MAFI dan orang awam melalui platform Zoom dan Facebook.
Dalam majlis pelancaran tersebut, YAB Perdana Menteri dalam rakaman video perasmian menyatakan nilai tambah sektor agromakanan yang berpotensi meningkatkan pendapatan peserta industri di sepanjang rantaian nilai. Ini ternyata melalui sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang meningkat dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 6.8% pada tahun 2020 berbanding tahun 2010. Jumlah eksport juga meningkat dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 6.4% iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh yang sama.
YAB Perdana Menteri turut menyatakan bahawa DAN 2.0 telah digubal sebagai kesinambungan kepada Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) untuk meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan sekuriti makanan negara.
“Usaha tersebut bakal dijayakan menerusi pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan. Keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan,” kata YAB Perdana Menteri.
“DAN 2.0 meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan. Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja untuk meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Selain itu, bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) akan menjadi nadi pembangunan sektor ini melalui kerjasama agensi penyelidikan awam dan swasta,” tambah YAB Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri juga menyatakan sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada 4.5% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui kerangka dan dokumen pelan tindakan DAN 2.0.
Melalui DAN 2.0, MAFI akan terus memperkasa sektor agromakanan negara melalui pemodenan dan pertanian pintar, pengukuhan rantaian nilai, pembangunan bakat, amalan pertanian mampan dan penyediaan ekosistem perniagaan yang kondusif. Melalui pelbagai strategi dan pelan tindakan yang dirangka dalam DAN 2.0, sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK negara dijangka berkembang pada kadar 5% setahun menjelang tahun 2030.
MAFI sasar peningkatan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) bagi beras kepada 80%, daging lembu (50%), susu segar (100%), buah-buahan (83%), sayur- sayuran (79%), sumber ikan (98%) dalam tempoh pelaksanaan DAN 2.0.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata MAFI komited menyediakan persekitaran yang kondusif melalui kemudahan kewangan, insurans pertanian, pendigitalan produk dan penyediaan akses pasaran dalam talian.
“Melalui penerimagunaan teknologi yang lebih meluas, dijangkakan tahap kebergantungan negara kepada pekerja asing akan terus menurun. Keadaan ini seterusnya berupaya menarik lebih ramai penyertaan golongan belia untuk menceburi sektor ini,” jelas beliau.
Tambah beliau, MAFI juga akan terus mengalakkan kolaborasi yang lebih baik melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan di sepanjang rantaian nilai khususnya melalui projek-projek yang berimpak tinggi.
Menurut Dr Ronald, beliau sendiri akan memantau pelaksanaan strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan dalam DAN 2.0 pada peringklat ini melalui Jawatankuasa Khas yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Jawatankuasa Khas ini akan dianggotai oleh pengurusan tertinggi MAFI serta Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.
Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan dianggotai oleh pakar yang berpengalaman

Advertisements

dalam sektor agromakanan akan bertindak sebagai Jawatankuasa Penasihat antara lain, untuk menasihat dan meneliti kerangka tadbir urus dan pelaksanaan DAN 2.0.
“Sesungguhnya, kerjasama dan komitmen sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGOs) serta rakyat keseluruhannya adalah penting untuk mengatasi cabaran sekuriti makanan dengan berkesan. Dalam hal ini, langkah bersepadu dan holistik menerusi pendekatan whole of nation dapat memastikan sistem makanan negara kekal utuh sepanjang masa menghadapi sebarang ketidaktentuan,” kata Dr Ronald.
Menurut Laporan Indeks Sekuriti Makanan Global 2021 yang diterbitkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) baru-baru ini, Malaysia berada di tangga ke-39 daripada 113 negara yang terlibat dengan menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan (9) anak tangga. Pelaksanaan DAN 2.0 dalam tempoh ditetapkan akan terus menyumbang kepada pemerkasaan sistem makanan negara khususnya pengukuhan industri dan rantaian bekalan makanan agar kekal berdaya tahan dalam mengharungi sebarang krisis di masa hadapan

Related Articles

253FansLike

Latest Articles