SERDANG: Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada hari ini sekali lagi dengan jayanya telah menganjurkan Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Dewan Tan Sri Yusof Hashim, Ibu Pejabat MARDI.
Hari Inovasi MARDI ini merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 2011 dengan pelbagai program yang dianjurkan seperti Anugerah Inovasi MARDI (AIM), Pertandingan Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE), Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MARDI dan Pertandingan Inovasi Akar Umbi MARDI (AUM).
Sambutan yang berlangsung secara hibrid pada 12-14 Oktober 2021 ini mendukung tema “Breakthrough Innovations: Facing Challenges Together” yang dipilih bertepatan dengan suasana masa kini dalam mendepani pelbagai cabaran seperti isu perubahan iklim, penggunaan teknologi maju dan tidak terkecuali pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada sektor agromakanan negara secara langsung dan tidak langsung.
Dr Ronald dalam ucapan perasmiannya berkata di bawah Rancangan Malaysia ke- Dua Belas (RMKe-12), kemajuan sektor agromakanan akan dipacu oleh strategi pemodenan melalui penggunaan teknologi mekanisasi dan revolusi industri keempat atau IR4.0, serta peningkatan keberkesanan aktiviti pemindahan teknologi yang menyumbang ke arah peningkatan produktiviti.
“Pemodenan sektor agromakanan juga sememangnya menjadi antara tumpuan utama dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang pelaksanaannya bermula pada 2021 sehingga 2030. Dasar ini juga telah mengambil kira strategi-strategi yang digariskan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),’’ kata beliau.
Tambah Dr Ronald, dalam menangani cabaran-cabaran sekuriti makanan, inovasi memainkan peranan penting di dalam menentukan pemacu perubahan (game changer) yang dicari selama ini bukan sahaja bagi menyelesaikan masalah semasa, malah berpotensi untuk membuka ruang dan peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri agromakanan secara khususnya dan menyumbang di dalam perkembangan sektor ekonomi negara secara amnya.
“Adalah penting bagi sesebuah inovasi itu dapat menyumbang kepada pencapaian yang dapat diukur oleh indikator di dalam negara dan juga antarabangsa seperti Tahap Sara Diri (SSL), Nisbah Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs)”, ujar Dr Ronald.
Hari Inovasi MARDI kali ini menyaksikan sebanyak 8 kategori anugerah AIM dipertandingkan dengan 112 penyertaan dari pusat penyelidikan dan pemindahan teknologi. Manakala, sebanyak 151 penyertaan telah diterima untuk dipertandingkan dalam MSTE; 119 penyertaan Kategori Pengetahuan dan 32 penyertaan Kategori Inovasi. Selain itu, KIK dan AUM masing-masing telah menerima sebanyak 7 dan 18 penyertaan berkumpulan bagi merebut anugerah dan hadiah yang ditawarkan.
Sambutan Hari Inovasi MARDI ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI serta warga MAFI dan MARDI.
Dalam pada itu, Dr Ronald juga turut melancarkan beberapa produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI termasuklah;
1. Produk Minuman Berasaskan Terung Asam Kaya Dengan Asid Hidroksisinamik
Produk pengurusan berat badan (anti-obesiti) ini dihasilkan sebagai memenuhi permintaan pengguna terhadap produk kesihatan daripada sumber semula jadi yang semakin meningkat berbanding produk yang dihasilkan secara sintetik. Ia meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan pengambilan makanan dan juga meningkatkan kadar metabolisme yang seterusnya akan mendorong pembakaran lemak. Produk ini dijamin selamat kerana menggunakan bahan mentah daripada sumber sayur tradisional tempatan.
2.ProdukKrimAntiradang(Cleosafe)BerasaskanSayuranMaman
Ia dformulasi daripada ekstrak sayuran maman menggunakan teknik pengekstrakan yang telah dipiawaikan dan juga telah diperkaya dengan minyak kelapa dara. Gabungan ekstrak maman dan minyak kelapa dara ini memberikan kesan sinergistik untuk mengurangkan kesan keradangan. CleoSafe merupakan produk anti radang alternatif kepada krim antiradang komersil yang terdapat di pasaran kerana ianya kaya dengan fitokimia dari sumber semulajadi.
3. AirKelapaMudaBerkarbonat
Kaya dengan anti-oksidan dan kandungan mineral. Minuman yang ditambah nilai rawatan pempasteuran ini mempunyai jangka hayat selama empat ke lapan minggu, lebih panjang dari air kelapa segar. Ia turut ditambah gas karbon dioksida untuk rasa lebih unik dan menyegarkan dan tanpa bahan pengawet. Rasanya yang enak dan sedap diyakini akan menarik ramai peminat air kelapa.
4. AisKrimKelapaKurangKalori
Aiskrim kelapa kurang kalori dan rendah kandungan lemak ini dihasilkan menggunakan isi kelapa muda varieti Pandan atau Malayan Green Drawft yang diadun bersama santan kelapa segar, krim tenusu, pemanis, penstabil dan pengemulsi. Pengambilan aiskrim sesuai dengan mereka yang mempunyai masalah obesiti dan aras kolesterol tinggi serta penyakit berkaitan yang lain.
MARDI juga telah berjaya menghasilkan sebanyak 6 teknologi yang telah dikomersialkan melalui penjualan terus atau perlesenan bersama syarikat dan 6 teknologi masih dalam rundingan pengkomersialan sepanjang pandemik COVID-19 melanda iaitu antara tahun 2020 hingga 2021.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
Akta MARDI 1969 telah membawa kepada penubuhan MARDI pada 28 Oktober 1969. Sepanjang lebih 50 tahun penubuhannya, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dirancang dan dilaksanakan oleh MARDI telah menjana pelbagai penemuan teknologi yang memberi manfaat kepada sektor pertanian negara. Produk R&D MARDI telah terbukti mampu merealisasikan agenda utama negara dalam mentransformasikan sektor pertanian ke arah ekonomi lebih maju pada kini dan masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Dr. Mohd Syaifudin bin Abdul Rahman Abdul Rahman bin Abdul Razak 013-930 8432| saifudin@mardi.gov.my 019-248 0204 | arar@mardi.gov.my