Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Bakal Dilancarkan

PULAU PINANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara yang menyeluruh selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Advertisements

Pendekatan yang berfokus dan bersasar dalam pelan ini akan terus membangunkan industri tuna dan laut dalam dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara serta menggalakkan penglibatan pengusaha industri tersebut di sepanjang rantaiannya sekaligus meningkatkan daya saing dan pendapatan kumpulan sasar.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata industri perikanan tuna kian rancak dibangunkan dan mutakhir ini ia menjadi suatu sumber kekayaan baharu negara hasil daripada kerjasama semua pihak terutama pengusaha vesel penangkapan ikan tuna yang komited.
“Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021 – 2030 wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak kerana ia tidak terhad kepada aktiviti penangkapan sahaja, malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain,” katanya.
Tambah beliau, ini juga selaras dengan transformasi sektor perikanan yang menyeluruh selaras dengan hasrat dan jangkaan pihak berkepentingan serta menyokong pembangunan ekonomi negara.
Dr Ronald berkata demikian kepada pemberita semasa Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, Pulau Pinang di mana hari ini, kapal Ibu Wira 1 telah berjaya mendaratkan sebanyak 15 tan metrik tuna manakala Ibu Wira 2 pula telah mendaratkan sebanyak 37 tan metrik tuna.
Turut hadir YB Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, YBrs. En. Ahmad Tarmidzi bin Ramly, Ketua Pengarah Perikanan dan YBrs. En. Yusoff bin Othman, Ketua Pengarah LKIM.
Pelabuhan Pulau Pinang (Dermaga Dalam) dan Pelabuhan Langkawi merupakan dua buah pelabuhan di Malaysia yang sesuai dijadikan sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh vesel- vesel yang beroperasi di Lautan Hindi.
Dr Ronald berkata kita harus mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di Malaysia.
Dalam pada itu, Dr Ronald juga berkata bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di negara ini, kerjasama di antara Kerajaan dan pihak swasta adalah amat penting termasuk pelaburan swasta bagi memastikan industri tuna di Malaysia dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk menaiktaraf kemudahan di pelabuhan untuk menarik minat lebih banyak vesel tuna tempatan dan asing masuk mendaratkan hasil tangkapan mereka. Maka sudah pasti, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian tuna serta peningkatan kemahiran pekerja yang mengendalikan pendaratan dapat memastikan kualiti tuna terjaga dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik serta masa memunggah turut mampu dipendekkan.
Dalam hal ini, MAFI juga sedang memuktamadkan cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna dan kompleks perikanan di Jeti Batu Maung, Pulau Pinang melalui kerjasama strategik pihak swasta yang akan dapat meningkatkan kemasukan vesel tuna ke pelabuhan tersebut yang mampu melonjakkan hasil pendaratan tuna di Malaysia.
Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, Kerajaan tetap memberi komitmen penuh dalam pengurusan tuna di pelabuhan. Bagi tahun 2021, sehingga Ogos, Malaysia telah merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan metrik bernilai RM520 juta yang mana daripada jumlah tersebut sebanyak 42,232 tan metrik (72%) adalah dari jenis tuna neritik, 3,389 tan metrik (6%) adalah dari tuna oseanik dan 12,929 tan metrik (22%) adalah dari tuna-like species. Daripada jumlah pendaratan tersebut, pelabuhan Pulau Pinang telah menerima pendaratan tuna sebanyak 20 kali di mana sebanyak 1,301 tan metrik dieksport ke negara Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.
Melihat kepada hasil pendaratan ini, Kerajaan menggalakkan sehingga 70 buah vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030. Ini adalah bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30 ribu tan metrik tercapai.
Sehingga Ogos 2021, sebanyak 20 buah vesel tuna iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna telah dilesenkan dan sudah beroperasi di Lautan Hindi manakala 1 lagi vesel penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dan dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini.
Di samping menggalakkan vesel sedia ada untuk mendaratkan tuna di pelabuhan-pelabuhan yang telah didaftarkan, galakan kepada pengusaha tempatan untuk mencebur dalam industri tuna membuka peluang kepada pemilik Zon C2 dengan peralatan rawai atau pukat jerut yang berkelayakan untuk mengoperasikan vesel di Zon C3.
MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sentiasa komited dalam pembangunan industri perikanan termasuk industri tuna. Pada masa yang sama, pengurusan sumber perikanan di perairan negara mahupun antarabangsa akan turut dipelihara demi jaminan bekalan ikan sekaligus memastikan kesiapsiagaan dan sekuriti bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi sebarang situasi di luar jangkaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles