Muhyiddin Gariskan Kerangka Pembangunan Holistik Negeri Sabah Untuk Jayakan WKB 2030

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan kerangka pembangunan menyeluruh negeri Sabah bagi merealisasikan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, sekali gus membantu mencapai pertumbuhan dan potensi ekonomi yang mampan seiring dengan pengagihan yang adil, saksama dan inklusif.

Beliau berkata wawasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu mencakupi pembangunan ekonomi negeri Sabah, pembangunan luar bandar, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan peluang pelaburan negeri Sabah.

Katanya WKB 2030 mengandungi teras utama dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

WKB 2030 berhasrat mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil dan saksama oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah, katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama@Sabah di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata selepas setahun kerajaan PN mentadbir negara, pelbagai perancangan dan pelaksanaan inisiatif telah dijalankan bagi memenuhi hasrat WKB 2030.

Bagi negeri Sabah, Muhyiddin berkata kerajaan memberikan perhatian yang terbaik untuk memastikan penyampaian segala bentuk perancangan dapat dilakukan secara optimum bagi manfaat semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasukl
di negeri Sabah.

“Untuk Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 RMKe-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 billion telah diluluskan khusus untuk negeri Sabah bagi pelaksanaan projek-projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.


Katanya antara projek pembangunan utama di negeri Sabah yang sedang dilaksanakan ialah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, projek menaik taraf 50 buah Sekolah Daif secara sistem binaan berindustri (IBS) dan projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Sabah.

“Kesemua projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada peningkatan aktiviti ekonomi di Sabah,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata usaha kerajaan turut tertumpu dalam menangani kemiskinan dan memperkukuh pembangunan inklusif di Sabah.

“Sebagai contoh, Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah yang merangkumi 3 kluster, iaitu Native Customary, Mahkamah Adat dan Pembangunan Modal Insan sedang dilaksanakan di bawah RP1 2021,” kata beliau.

Bagi menangani jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang menyeluruh bagi memastikan kebajikan setiap rakyat terbela. Saya difahamkan terdapat kira-kira 1.52 juta penduduk di luar bandar negeri Sabah, iaitu 20% daripada jumlah keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesalinghubungan antara satu sama lain menerusi pembinaan jalan raya sepanjang 700km di bawah program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang bakal memberi manfaat kepada 232,000 penduduk.

Selain itu, katanya usaha terus digiatkan untuk membina dan membaik pulih rumah di Sabah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan sebanyak RM369.8 juta.

Ini termasuk RM213.6 juta untuk pembinaan 2,700 rumah baharu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 ahli isi rumah dan RM156.2 juta untuk membaik pulih 9,200 unit rumah bagi 45,000 isi rumah, katanya.

Muhyiddin berkata tumpuan juga akan diberi kepada golongan rentan seperti kanak-kanak.

“Sebagai contoh, di Sabah, bagi unjuran 2021-2025 sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk menyediakan Bantuan Makanan Tambahan dan Bantuan Geran Per Kapita untuk kanak-kanak TABIKA dan TASKA KEMAS melibatkan seramai 1 juta orang kanak-kanak bagi unjuran 2021-2025.

“Bantuan ini meliputi makanan berkhasiat, buku, alat tulis dan pakaian sekolah. Manakala 1,750 buah TABIKA dan TASKA KEMAS juga akan dibaik pulih dalam tempoh yang sama,” katanya.

Bagi memacu pemulihan ekonomi negara semasa Covid-19, Muhyiddin berkata kerajaan telah memperkenalkan beberapa kerangka inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi dan ini termasuk Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion telah diperkenalkan dengan 20 inisiatif utama.

“Bagi rakyat Sabah khususnya, Program Modal Insan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat oleh pihak Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) untuk memberi fokus pada kumpulan terkesan dengan pandemik khususnya golongan B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan atau keusahawanan,” katanya.

Beliau yakin Sabah mempunyai potensi yang amat besar dalam menarik pelaburan dari dalam dan luar negara memandangkan kedudukan yang strategik di rantau ini dan kekayaan sumber asli.

Sebagai contoh, pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar atau Sapanga Bay Container Port di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi Sabah, katanya.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di negeri Sabah dalam dan luar negara pada tahun 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion.

“Manakala kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh MIDA untuk negeri Sabah pada 2020 ialah sebanyak RM11.95 bilion bagi 15 projek,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan keyakinan kerajaan negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Bin Haji Noor dan barisan kabinet serta seluruh jentera kerajaan mampu mendukung aspirasi nasional WKB 2023.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles