KOTA KINABALU: Berikutan satu klip video tular berdurasi 12 minit 34 saat yang memaparkan seorang wanita mempertikaikan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu, KDCA Youth Council (KYC) turut terpanggil membuat kenyataan.
Pengerusinya, Steve Johnny Mositun, berkata, menerusi video berkenaan, wanita tersebut mempersoalkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain selain menyifatkan kalimah tersebut adalah eksklusif kepada penganut agama Islam dan tidak seharusnya dikongsi.
“Sebagai anak muda, kita amat kecewa kerana masih ada yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sedangkan sepatutnya isu tersebut sudah selesai,” katanya.
Steve memberitahu, video tular tersebut sebenarnya cenderung menghasut orang ramai agar menentang isu penggunakan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.
“Walhal isu ini sudah dikira selesai oleh institusi mahkamah yang adil lagi bijaksana, jadi oleh kerana sudah selesai sepatutnya keputusan itu dihormati, bukan dipersoalkan kesaksamaannya,” ujar Steve.
Menerusi video berkenaan juga, wanita berkenaan turut mempersoalkan di mana mereka yang menjadi ketua agama dan bagaimana hal tersebut boleh berlaku selain kecewa terhadap perkara itu yang disifatkan amat memalukan.
“Semoga pihak yang berwajib dapat mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dilihat menentang keputusan tersebut, kerana kenyataan biadap seperti itu juga boleh dianggap mengancam keselamatan dan menimbulkan kegusaran penganut agama Kristian,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada pihak kerajaan agar menerima keputusan Mahkamah Tinggi itu dan tidak membuat rayuan.
Ini kerana, di Sabah sebenarnya isu ini tidak pernah menjadi satu isu yang besar, malah walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, namun masih dapat saling hidup hormat menghormati di antara satu sama lain.
Justeru, Steve turut menggesa orang ramai agar sentiasa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut ke arah sesuatu yang tidak bijak, sehingga mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.